Sunday, March 30, 2014

IDEALISME DAN FALSAFAH MELAYU

Pengenalan

Idealisme merupakan perkataan yang berasal daripada bahasa Yunani, iaitu 'idea' yang bermaksud idea dan 'isme' yang bermaksud ajaran dan fahaman. Manakala, perkataan falsafah mendukung makna mencintai kebijaksanaan yang terdapat dalam bahasa Yunani, iaitu philien(mencintai) dan sophia(kebijaksanaan/pengetahuan).  
Setiap karya atau penulisan pastinya mempunyai idealisme dan falsafahnya yang tersendiri. Hal ini berkait rapat dengan diri seseorang penulis itu sendiri. Setiap penulis mempunyai kecenderungan tersendiri untuk mengaitkan penulisannya dengan falsafah dan pemikiran tertentu. Misalnya berkaitan dengan idealisme bersumberkan alam, falsafah bersumberkan Islam, falsafah bersumberkan Melayu mahu pun falsafah bahasa. Dalam dunia ketamadunan, banyak karya agung yang dihasilkan yang melambangkan keagungan cipta bangsa Melayu yang menimbulkan identiti dan tradisi dalam dunia penulisan Melayu.

Kedua-dua elemen ini diadaptasikan oleh tokoh-tokoh sastera ke dalam karya mereka untuk memperjelaskan lagi tujuan dan idea yang ingin disampaikan dalam sesuatu karya agung itu. Hal ini demikian kerana, elemen-elemen tersebut amat sesuai dan bertepatan dengan kehendak pembaca. Dalam pada itu, para pengkarya itu juga menerapkan kedua-dua elemen ini agar para pembaca dapat membuat penganalisisan tentang sesuatu karya tersebut dengan lebih mudah.

Konsep Idealisme

Idealisme dan falsafah merupakan dua elemen sastera yang saling bertentangan. Penggunaan kedua-dua elemen ini ke dalam sesuatu karya sastera, iaitu karya agung khususnya amat popular dalam kalangan pengkarya-pengkarya satu ketika dahulu. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, idealisme bermaksud sifat melihat atau mencita-citakan sesuatu dalam bentuk yang ideal (2010: 558). Menurut W.F Hocking pula, idealisme merupakan realiti yang terdiri daripada idea-idea, fikiran-fikiran, akal (mind) atau jiwa (selves) dan bukanlah kekuatan atau kebendaan. Berdasarkan pendefinisian tersebut, jelas menunjukkan bahawa idealisme memerlukan daya imaginasi yang tinggi dan kreatif untuk menghasilkan sesuatu bentuk karya sastera.

Idealisme Bersumberkan Alam

Sesebuah karya seharusnya memiliki falsafah, pemikiran dan persoalan yang agung dan penting. Hal inilah yang disebutkan oleh tokoh pengkritik karya sastera, Greek Dionysus Cassius Longinus. Hal ini membuktikan bahawa sesebuah karya sastera, terutamanya karya agung pasti memiliki ciri pemikiran tertentu yang juga disebut sebagai idealisme. Seterusnya, idealisme yang akan dibincangkan dalam karya agung Melayu adalah idealisme karya yang bersumberkan alam. Perbincangan berdasarkan idealisme yang bersumberkan alam ini dapat dikategorikan kepada beberapa pecahan, misalnya berkaitan tumbuh-tumbuhan, haiwan, angkasa, sosialisasi dan sebagainya. Kehidupan manusia tidak lari daripada alam, malah banyak perkara yang berlaku dalam kehidupan sebagai seorang manusia sering dikaitkan dan diumpamakan dengan alam ciptaan Tuhan, tidak kira dari segi tumbuhan, haiwan, angkasa, lautan mahupun hubungan antara masyarakat, iaitu sosialisasi.

Hal ini banyak diungkapkan dalam karya-karya agung Melayu klasik. Mortimer Jerome Adler menyatakan, berdasarkan isu utama berkenaan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia sebagai bentuk hidupan yang berkesinambungan atau jelas berbeza, maka kajian organisma haiwan – anatomi dan fisiologinya – memperoleh banyak kepentingannya (2007: 12).  Bukan sahaja pada satu bahagian, malah pada ketika menulis manusia juga tidak dapat lari dari dikaitkan dengan alam. Bagi membuktikan hal ini, jadual di bawah disediakan untuk memaparkan antara contoh karya agung yang penulisan, pemikiran atau idealismenya berhubungkait serta bersumberkan alam.

Konsep Falsafah

Perkataan falsafah berasal daripada bahasa Yunani atau Greek purba yang mengandungi dua perkataan, iaitu ‘philo’ yang bermaksud ‘cinta’ dan ‘sephia’ yang bermaksud ‘kebijaksanaan’ (Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman, 2003: 1). Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, falsafah bermakna pengetahuan tentang pengertian yang dianggap sebagai ilmu yang tertinggi yang menjadi dasar kepada ilmu-ilmu lain. Sungguhpun begitu, dewasa ini takrif yang diutarakan oleh B.A.G Fuller dalam bukunya A History of Philosophy, iaitu :

“Falsafah boleh ditakrifkan sebagai satu penyelidikan atau pengajian dan ilmu yang berasaskan renungan (reflective) dan penaakulan (reasoning) untuk merumuskan sifat, hakikat dan kandungan alam wujud atau alam semesta dilihat secara keseluruhan sebagai satu kesatuan, berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data dan fakta yang diambil daripada semua aspek alam wujud atau semesta.”

(Falsafah, Logik, Teori  Nilai dan Etika Melayu : Suatu Pengenalan, 2001: 1)

Hashim Hj. Musa (1994: 10) pula menjelaskan falsafah sebagai kajian secara renungan dan spekulatif terhadap punca, keadaan dan sifat seluruh pengetahuan manusia yang menjadi sari pati bagi seluruh bidang pengetahuan manusia. Beliau turut menjelaskan konsep falsafah yang paling luas dan serba merangkumi, mencukupi keseluruhan pengetahuan konsepsi manusia tentang semua bidang, cabangan dan menjadikannya satu keseluruhan, satu gemblengan pengetahuan konsepsi manusia. Oleh hal yang demikian, maka muncullah cabang-cabang falsafah seperti falsafah sains, falsafah kesenian dan estetika, falsafah bahasa dan lain-lain lagi.

Jika dilihat di Barat, secara umumnya terdapat empat mazhab falsafah yang boleh dibahagikan kepada falsafah tradisional dan falsafah moden. Menurut Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman (2003: 24), mazhab falsafah idealisme dan realisme tergolong dalam kategori falsafah tradisional, manakala mazhab falsafah pragmatisme dan eksistensialisme pula tergolong kategori falsafah moden. Plato dalam bukunya bertajuk The Republic, mengemukakan idea bagi mazhab pertama, iaitu idealisme, dengan menerangkan bahawa kebenaran, keindahan dan keadilan boleh dicari menggunakan penaakulan yang berterusan dengan penuh kesedaran bukan daripada kebendaan.

Seterusnya, falsafah realisme pula diasaskan oleh Aristotle, iaitu murid kepada Plato. Walau bagaimanapun, Aristotle tidak bersetuju dengan falsafah idealisme kerana beliau beranggapan, kebenaran itu adalah bebas daripada penggunaan akal semata-mata. Kedua-dua mazhab ini merintis kepada aliran falsafah moden yang memperkenalkan falsafah pragmatisme atau lebih dikenali sebagai falsafah orang Amerika. Falsafah ini bertentangan falsafah tradisional kerana pragmatisme merujuk kepada eksperimentalisme yang berasaskan perubahan, proses, relativiti serta pembinaan semula. Selepas Perang Dunia Kedua, muncul falsafah eksistensialisme yang percaya bahawa realiti adalah sesuatu kewujudan individu. Falsafah ini menekankan pengalaman bebas atau laissez faire dalam menentukan keputusan, pilihan, dan pembelajaran individu.

Falsafah dalam Islam pula meletakkan al-Quran dan wahyu sebagai panduan kepada akal manusia dengan memberatkan akhlak agar dapat melahirkan manusia yang sempurna. Abu Bakar Nordin dan Ikhsan Othman dalam bukunya bertajuk Falsafah Pendidikan dan Kurikulum (2003: 29), menyatakan falsafah adalah tidak bercanggah dengan kehendak atau prinsip yang terdapat dalam ajaran Islam. Jika sains adalah mencari kebenaran, falsafah adalah mendekati kebenaran, manakala agama pula adalah kebenarannya.

Falsafah mempersoalkan prinsip-prinsip realiti ilmu dan nilai. Falsafah juga merupakan pendekatan rasional terhadap sesuatu masalah dan persoalan, di samping satu penyiasatan yang komprehensif dan logik mengenai asas-asas pemikiran semua aktiviti manusia. Tujuan falsafah untuk mencari kebenaran tentang sesuatu permasalahan dengan cara berfikir secara radikal, sistematik dan sejagat. Sesuatu perkara itu menjadi persoalan falsafah apabila ia tidak dapat diselesaikan melalui kaedah dan pengamatan sains. Persoalan falsafah lazimnya melibatkan perkara-perkara yang abstrak seperti persoalan konsep dan ideologi. Secara ringkasnya, falsafah merupakan suatu pemikiran yang amat mendalam dan menyelurug terhadap sesuatu perkara dalam usaha mencari kebenaran.


Falsafah bersumberkan Islam

Falsafah karya agung terutamanya karya agung dunia Melayu turut diilhamkan oleh pengarangnya melalui agama Islam yang menjadi pegangan agama majoriti bangsa Melayu. Hal ini dibuktikan melalui sebuah buku daripada Yayasan Karyawan (2000: 13) yang menyatakan tiga faktor utama terhasilnya karya agung Melayu, iaitu kekuatan bahasa Melayu, pengaruh Islam, dan peranan istana dan sekolah pondok. Hal ini membuktikan bahawa falsafah yang terdapat dalam karya agung terdapat juga yang bersumberkan Islam, iaitu memperlihatkan keislaman dalam penghasilan karya.

Setelah pengaruh agama Hindu menjadi pudar dalam diri masyarakat Melayu, munculnya Islam di dalam dunia Melayu. Sekitar abad ke-12 dan ke-13, beberapa buah kerajaan Melayu-Islam telah ditubuhkan di Perlak (Pasai). Perkara ini menyebabkan berakhirnya pengaruh kerajaan Melayu-Srivijaya yang pada masa tersebut masih dalam kekuatan pengaruh Hindu. Agama Islam seterusnya disebarkan secara meluas, bukan sahaja dalam kalangan alim ulama’ tetapi juga turut disebarkan kepada rakyat. 

Pada ketika ini dikatakan masyarakat Melayu masih menggunakan bahasa lisan sehinggalah tiba suatu ketika apabila masyarakat Melayu sudah mula mempelajari abjad Arab untuk menulis bahasa Melayu. Dengan bermulanya perkembangan tulisan ini, bermulanya suatu zaman baru dalam dunia Melayu, iaitu zaman perkembangan ilmu dan pemikiran yang didasarkan kepada ajaran agama, iaitu tauhid dan pandangan Islam sejagat. Hal ini juga dapat dikaitkan dengan istana kerajaan Melayu-Islam pada zaman tersebut yang menjadi pendukung kepada kegiatan penulisan yang membentuk warisan bangsa. 

Kitab al-Qur’an merupakan sumber utama kepada falsafah Islam kerana al-Qur’an adalah kitab petunjuk dan rahmat buat sekalian alam. Mohd Rashid Md Idris ada menyatakan bahawa al-Qur’an itu adalah kitab yang Haq dari yang maha Haq, tiada keraguan, tiada kebengkokan, tiada kesilapan dan kesalahan, tiada percanggahan dan pertentangan, kitab yang terpelihara, kitab yang diberkati, kitab yang menjadi cahaya dan penghidup jiwa, kitab yang menjadi penjelas dan penerang, kitab yang menjadi penawar dan pengubat jiwa, dan kitab yang menjadi pemutus kata (2007: 53). 

Hal ini membuktikan bahawa Islam dan falsafahnya memberikan seratus peratus keyakinan kepada penganut agamanya. Hal ini juga menyebabkan masyarakat Melayu-Islam sejak dahulu sangat yakin akan kebaikan menurut ajaran seperti yang dinyatakan dalam agamanya. Dengan itu, tidak hairanlah di dalam penulisan pengkarya klasik dahulu kala terutamanya mereka yang beragama Islam seperti Nuruddin al-Raniri, Tun Sri Lanang, Raja Ali Haji, Munshi Abdullah dan tokoh-tokoh yang lain suka untuk mencetuskan pemikiran berasaskan falsafah Islam dalam karya mereka.

Falsafah bersumberkan Melayu

Kehidupan masyarakat Melayu tidak boleh terlepas daripada peraturan dan disiplin. Oleh yang demikian, mereka menerapkan unsur tersebut di dalam karya mereka. Misalnya, mereka menekankan konsep budi dalam kehidupan mereka. Konsep budi tersebut pula terbahagi kepada lima, iaitu budi bahasa, budi pekerti, budi bicara, hati budi dan akal budi (Mohd Rashid Mohd Idris, 2011: 63). Penerapan unsur-unsur tersebut dapat diperhatikan dalam contoh yang berikut:

1. Budi bahasa
Budi bahasa dan budi bicara yang mulia merujuk kepada pertuturan yang manis, sopan, positif, bijaksana, bernas dan penuh pengajaran, serta memberikan sumbangan kepada khalayak dan pendengarnya (Mohd Rashid Idris, 2011: 64).

2. Budi Pekerti
Bagi gagasan budi pekerti, ia lebih terarah kepada akhlak seseorang itu. Namun demikian, unsur kesantunan masih lagi menjadi akar kepada setiap perlakuan yang dihasilkan oleh seseorang individu itu. Menurut Mohd Rashid Md. Idris (2011), budi pekerti adalah satu aspek atau tingkah laku seseorang yang dinilai oleh masyarakat dari sudut baik dan buruk, atau halus dan kasar. Kelakuan tersebut merangkumi kelakuan yang bersopan-santun, tertib dan sebagainya.

3. Budi Bicara
Pendefinisian budi yang seterusnya pula lebih cenderung kepada unsur toleransi dan tolak ansur dalam setiap perbuatan. Hal ini demikian kerana, kehidupan bermasyarakat yang mementingkan nilai kerjasama bagi mewujudkan suasana yang harmoni dan aman. Malahan nilai ini turut diterapkan dalam kehidupan berkeluarga khususnya.

4. Hati Budi
Hati budi pula bolehlah dikaitkan dengan istilah hati yang baik atau baik hati. Untuk melahirkan hati yang baik, seseorang itu perlu diasuh sejak kecil kerana kesucian hati akan menentukan perlakuan yang baik, tingkah laku yang bersopan dan akan dihindari daripada segala sifat-sifat yang negatif dan buruk.

5. Akal Budi
Pertimbangan akal sangat diperlukan dalam kehidupan seharian. Oleh yang demikian, melalui pertimbangan akal budi yang mementingkan kewarasan fikiran ini akan menentukan sikap seseorang itu sama ada mampu untuk bertanggungjawab dengan setiap perkara yang dilakukannya ataupun tidak. Kebiasaannya dalam masyarakat dahulu nilai ini sangat dipentingkan supaya seseorang individu itu mampu untuk mengurus diri, keluarga dan juga masyarakat.

Falsafah bahasa

Falsafah bahasa merupakan gabungan dua perkataan, iaitu falsafah dan bahasa. Namun kedua-dua entiti ini membawa kepada pemaknaan yang berbeza sama sekali. Falsafah merupakan gabungan dua kata, iaitu istilah Yunani ‘philo’ (cinta) dan ‘sophos’ (hikmat). Kebenaran dan keutamaan kata yang dibawa oleh Phytogras ini dapat disimpulkan sebagai pencinta kebijaksanaan. Bagi pendefinisian bahasa pula, merujuk kepada sistem lambang dan bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam lingkungan satu kelompok manusia (Kamus Dewan Edisi keempat, 2010: 106).

Bagi Von Humboldt, iaitu seorang sarjana Jerman bahasa didefinisikan sebagai sintesis bunyi (dalam Mohd Rashid Md Idris, 2012: 8). Melalui pentakrifan yang dibuat dapat dinyatakan kesimpulan bahawa bahasa adalah satu medium yang diguna pakai oleh masyarakat untuk menyampaikan konsep atau lebih tepat lagi untuk berkomunikasi antara satu sama lain. Namun demikian, penggabungan kedua-dua elemen ini dapat membawa kepada sesuatu bentuk pengetahuan yang lebih unggul. Menurut Hashim Hj, Musa (1996), bidang falsafah terbahagi kepada dua bahagian, iaitu falsafah linguistik dan falsafah bahasa. Pembicaraan tentang falsafah linguistik merangkumi kepada cakupan dasar falsafah dalam konsep dan istilah linguistik. Hal ini merujuk kepada penelitian tentang kaedah dan amalan yang digunakan oleh ahli-ahli linguistik deskriptif dalam disiplin mereka (Mohd Rashid Md Idris, 2012: 9). 

Bagi falsafah bahasa pula, aspek ini meneliti dan memeriksa berasaskan falsafah pengetahuan yang dipanggil conceptual knowledge atau ilmu dalam bentuk konsepsi, yang wujud dalam fikiran secara ilmu (knowledge), logik dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, dapat dirumuskan bahawa falsafah bahasa merupakan bidang yang menelusuri tentang sesuatu aspek bahasa dengan menggunakan konsep pengetahuan dan penggunaan dasar yang lebih mendalam bagi mencari kebenaran dalam setiap aspek yang ingin dikaji.

Rujukan:

2. Buku: Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
3. http://www.slideshare.net/SitiZulaikhaSalleh/falsafah-idealisme-dan-pengenalan

Wednesday, March 26, 2014

ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

Estetik atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera yang terpenting. Malah, perkataan sastera itu sendiri yang berasal daripada perkataan Sanskrit, merujuk kepada karya yang indah. Manusia suka kepada sastera kerana sifatnya yang indah, estetik dan artistik itu. Setiap seni mempunyai sifat keindahannya yang tersendiri.

Dalam seni sastera, keindahan berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Estetik juga merujuk kepada aspek kekuatan karya. Dapatlah dinyatakan bahawa estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk  kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan ialah daya tarikan dan kepuasan dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya. Setiap komposisi karya memiliki keindahannya tersendiri. Dan khalayak akan membina pula sikap estetiknya bagi menerima teks-teks tersebut. Keindahan yang lebih agung lagi ialah yang membawa manusia mencapai kebaikan, mengagung Allah Azza Wajalla.

Keindahan pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman; pengalaman itu luar biasa, belum pernah dialaminya, menarik, dan memberinya kepuasan. Membaca adalah proses penambahan pengalaman. Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan. Seandainya pengalaman yang diberikan pengarang itu istimewa, maka pembaca akan merasai kenikmatan dan keseronokannya. Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya. Apabila kita membaca, perasaan kita akan turut digoncangnya.

Hasil daripada pembacaan itu, kita mendapat pemikiran yang tinggi atau ada falsafah tentang hidup. Kita dipintarkan olehnya, bukan digurui atau dimarahinya. Sebuah karya sastera yang berestetika juga mengajar kita menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Rasa keindahan juga berkait rapat dengan kemampuan sesebuah teks itu bagi menimbulkan perasaan kita, seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu dan sebagainya. Dan karya itu pula dapat menimbulkan rasa geram, dengki, cemburu dan sebagainya. Pengarangnya dengan bijaksananya berketrampilan dan mempermainkan imaginasinya bagi menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia, magis dan seumpamanya.

Seni pengolahan atau pembinaan karya, bagaimana karya itu distrukturkan. Aspek pembinaannya merangkumi tema, plot, watak, gaya bahasa, sudut pandangan dan latar. Kekuatan olahan bererti kekuatan teknik dan pencernaan pelbagai aspek dan komponen yang membina sesebuah karya. Begitu juga hubungan antara aspek yang membina itu harus sesuai, serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tegasnya, antara tema, watak, plot, gaya bahasa, sudut pandangan dan latar itu mempunyai hubungan, jalinan, kesatuan dan kekuatannya.

Daripada pengolahan itulah terbinanya sifat kepengarangan dan keunggulan pengarang. Teks-teks yang unggul dapat menunjukkan kekuatan dan keindahannya. Teks-teks yang unggul dapat menonjolkan bagaimana cara pengarang memilih dan mengangkat aspek tema dan persoalannya, kemudian menghadirkannya dengan teknik yang menawan. Teks yang dihasilkan itu tidak sama dengan apa yang pernah dihasilkan. Pengarangnya berusaha untuk mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau melanggar apa yang telah sedia ada. Kemudian, pengarang itu akan beristiqamah denga penciptaannya, sehinggalahd ia memiliki kepengarangannya sendiri. Dengan cara demikian, sesungguhnya dia dapat mencipta karya yang bermutu dan berestetika (Mana Sikana, 2004).

Menurut Prof. Dr. Vladimir I.BrasinkyProf. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Universiti London (Artikel Penuh : Dalam Utusan Malaysia, Oktober 2000) menyatakan bahawa asas keislaman yang terdapat dalam karya-karya agung membuatkan karya tersebut mempunyai nilai-nilai estetik. Pendapat beliau disokong oleh pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar bahawa keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan penulisan para intelektual dan sasterawan


Rujukan :

1. Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

2. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz2z743UnWN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, March 23, 2014

RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK


Definisi Retorik


Perkataan retorik dikenali sebagai Rethor dalam bahasa Greek yang bermaksud “pemidato” manakala dalam bahasa Yunani, ia menjadi rhetorike yang bermaksud seni berpidato. Retorik ini dieja rhetorique dalam bahasa Perancis dan Rhetoric dalam bahasa Inggeris. Retorik dalam bahasa Melayu Klasik boleh dilihat dalam peribahasa, pantun, syair, gurindam dan banyak lagi genre sastera melayu yang lain.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1326), retorik didefinisikan sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Menurut Abu Hassan, retorik merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitarannya. Plato pula dalam bukunya, Pheadrus menyatakan retorik merupakan wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle menyifatkan retorik sebagai seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan.

Orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan. Mohd Affandi Hassan menyatakan penggunaan retorik seperti cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik sebagai usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil. Orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk menyampaikan maksud. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik. Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong. Retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting iaitu pengetahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik.


Jenis-Jenis Retorik 
Retorik terdiri daripada enam jenis, iaitu;
  • Pemerian - penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea.  Ianya bertujuan menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar
  •  Penceritaan - merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan.  
  •  Penerangan - penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. 
  •  Pendedahan - mendedah  sesuatu/menyingkap /memapar /menunjukkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Selain itu, retorik jenis ini untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada khalayak dengan berkesan
  • Penghujahan - retorik ini juga dikenali sebagai pemujukan rasional atau intelek.  Retorik jenis ini digunakan dalam sesuatu perbahasan, perdebatan, pembicaraan, forum dan penulisan yang bersifat akademik.
  • Pemujukan - gunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan.
Penggunaan Retorik dalam Hikayat Abdullah & Hikayat Tuhfat Al-Nafis

1. Retorik Penceritaan
  • Tuan Raffles datang ke Melaka. Setelah berbincang dan bersetuju, dimintanya Kolonel Farquhar belayar ke Singapura untuk melaksanakan kerja tersebut. Ketika itu Tuan Raffles telah diarahkan pergi ke Aceh oleh Tuan Jenderal untuk mendamaikan pertelingkahan di antara Aceh Pidir dengan Teluk Semawi yang hendak berperang. (Hikayat Abdullah;ms 155)
2. Retorik Pemerian
  • Tuan Furquhar sudah lama bersahabat dengan Tengku Long, putera Sultan Mahmud. Semasa dia di Melaka, khabar yang kudengar mengatakan Tengku Long sudah mengambil wang daripada Kolonel Farquhar. (Hikayat Abdullah; ms 154)
  • Kawasan itu semak belaka. Hanya di padang itulah tiada berhutan besar, tetapi dipenuhi pokok-pokok ambung-ambung, malapari, bulangan dan tulang-tulang kayu. Di seberang sungai kelihatan pokok-pokok bakau, api-api, buta-buta, jeruju dan tulang-tulangnya sahaja. Ada sebuah bukit yang tinggi di hujung tanjung Kuala Singapura.  (Hikayat Abdullah; ms161)
  • Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama) tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak)”.(Tuhfat al Nafis;ms279)
3. Retorik Pendedahan
  • “Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Maka masa kerajaan baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu, iaitu yang berama Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya. Dan banyaklah anak-anak orang Melaka berahi akan dia hingga anak isteri orang tiadalah berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur. (Tuhfat al Nafis ; ms 134)
  • Akan tetapi, semenjak aku telah mendapat pelajaran dan akal sedikit-sedikit serta membaca kitab-kitab, tambahan pula telah bercampur-campur dengan orang berakal, orang putih, maka bahawasanya kuketahuilah sekalian itu bohong, lagipun penipu besar, adanya. (Hikayat Abdullah; ms 114)
4. Retorik Penerangan
  • Maka kulihat sifat orangnya pendek dan mukanya bundar dan rambutnya putih dan tubuhnya sederhana. (Hikayat Abdullah; ms 79)
5. Retorik Pemujukan
  • Maka berkatalah Pengeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.” Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu.” (Tuhfat al Nafis; ms232)

Definisi Gaya Bahasa

Pada umumnya, bahasa merupakan satu alat perhubungan dan komunikasi antara manusia. Bahasa lazimnya diertikan sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia sebagai alat untuk berhubung, manakala gaya bahasa pula bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu. Bahasa antaranya berfungsi untuk :
  • meluahkan perasaan
  • menyampaikan ilmu dan mengakumulasikannya
  • mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana (cara/bahan/strategi)
  •  mewariskan ilmu, budaya, peradaban dan agama
Dalam menyampaikan bahasa untuk melahirkan buah fikiran, lazimnya kita akan menggunakan gaya pengucapan atau gaya tulisan yang berbeza, yakni disebut gaya bahasa. Konsep gaya dari segi retorik lama mentakrifkan suatu cara berfikir yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Ringkasnya, bahasa ialah pengzahiran buah fikiran, manakala gaya ialah potongan atau stilistik atau fesyen tertentu kepada bahasa tersebut. Bahasa melayu amat kaya dengan gaya. Maksud gaya bahasa yang diberikan oleh Za’ba (1962:71) ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataanya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk pembahasaan. Za’ba membahagikan gaya bahasa melayu kepada dua, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Kedua-dua gaya ini boleh disebut sebagai gaya melayu betul dan gaya bukan melayu.

Contoh Gaya Bahasa dalam Hikayat Abdullah

1. Skema Pengguguran
 Asidenton: pengguguran kata hubung.
  •  makan tak kenyang, tidur tak lena (ms 13)
2. Skema Perulangan
Anafora: pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa.
  • Dia ketakutan melihat ramai orang berhampiran perahunya, lalu terjun ke laut ketika ombak besar. Dia hilang dibawa arus ke laut. (ms 160-161)
3. Skema Ragaman
*Khusus –Umum
  • Maka dalam hal itu bapaku pun mendapat sakit payah di Sungai Baru, lalu pergilah segala adik kakak dari Melaka mengambil akan dia… (ms8)
*Umum-Khusus
  • …Tuan Sekretaries Gobermen ke Melaka menyuruhkan bapaku pergi ke Riau dan Lingga, Pahang, Terengganu…. (ms 9)
4. Majaz
Maksud :  memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk.  

*Majaz Pertautan bermaksud hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan/tamsilan.
  • Disfemisme - kata-kata kasar untuk tujuan tertentu.
Contoh: Syahadan, maka dengan bodoh yang demikianlah kebanyakan surat-surat dan hikayat-hikayat dahulu kala yang dalam kebanyakan negeri Melaka disuruh gurunya bakarkan… (ms 309).
*Majaz Perbandingan bermaksud penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan 2 hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama.
  • Simile – perbandingan secara langsung.  
Contoh
- Seperti meniup api dalam air (ms15) 
- Seperti menatang minyak yang penuh (ms15)  
- Seperti bergantung di rambut sehelai, mati hidup kembali, nyawa pergi nyawa datang…(ms 13)
  • Hiperbola
Contoh:  Sebab itulah saya membuangkan diri ke pulau di tengah laut ini, tuan. (ms 156)
  • Personafikasi
Contoh: Tuan Farquhar pergi berteduh di bawah sepohon kayu kelat di tengah padang itu.(ms 156)


Bahasa Melayu Klasik

Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai. Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Bahasa Melayu klasik pula menurut Ismail Hussein (1966), “ pembahagian bahasa Melayu Klasik dibuat adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu”. Menurut Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14 dan beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu setelah kedatangan agama Islam. Kenyataan ini disokong dengan bukti catatan Marco Polo tentang pengislaman Pasai pada tahun 1292M sewaktu beliau melawat Sumatera Utara. Permulaan bahasa Melayu klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu klasik menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam.

Thursday, March 20, 2014

TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG


1.  Abdullah Munsyi



Abdullah Munsyi telah diiktiraf sebagai Pelopor Kesusasteraan Melayu Moden. Gelaran itu diberikan kerana beliau yang memulakan penulisan corak baru yang menyimpang daripada tradisi sebelumnya. Ciri-ciri penulisan beliau ialah:
  • Tidak lagi berkisar tentang keadaan di istana;
  • Tidak juga mengandungi mitos dan legenda;
  • Tidak terbina atas khayalan melulu; dan
  • Telah berhenti mengagung-agungkan golongan istana dan bangsawan.
         Abdullah meninggalkan ungkapan-ungkapan tradisional seperti “talibun” yang sering diulang-ulang untuk melukiskan sesuatu. Beliau juga menggunakan ganti nama diri “aku” atau “ku” yang menjelaskan sifat keakuan dan sifat bertanggungjawab terhadap karya yang dihasilkan. Genre-genre baru yang diterokai beliau ialah autobiografi dan memoir. Walau bagaimanapun, masih terdapat ciri-ciri sastera Melayu tradisional dalam karya seperti Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Di samping itu, lenggang-lenggok bahasa yang digunakan oleh beliau masih terikut-ikut dengan bahasa yang terdapat dalam Sejarah Melayu. 

2. Sheikh Hamzah Fansuri






Syeikh Hamzah Fansuri adalah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, dan budayawan terkemuka yang diperkirakan hidup antara pertengahan abad ke-16 sampai awal abad ke-17. Sayang sekali bukti-bukti tertulis yang dinyatakan tarikh sebenarnya Syeikh Hamzah Fansuri lahir dan wafat, dimana dilahirkan dan dimana pula jasadnya dibaringkan dan ditanam, tak dijumpai sampai sekarang. Namun begitu, Hamzah Fansuri dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Barat. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur. 

    Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Beliau  menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping Bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang. Nama gelar atau takhallus yang tercantum di belakang nama kecilnya memperlihatkan bahwa pendekar puisi dan ilmu sulukini berasal dari Fansur, sebutan orang-orang Arab terhadap Barus, sekarang sebuah kota kecil di pantai barat Sumatera yang terletak antara kota Sibolga dan Singkel. Sampai abad  ke-16 kota ini merupakan pelabuhan dagang penting yang dikunjungi para saudagar dan musafir dari negeri-negeri jauh. Daripada syair dan  namanya sendiri sudah sekian lama berdominasi di Fansur, berdekatan Singkel, sehingga mereka dan turunan mereka pantas digelari Fansur. Konon saudara Hamzah Fansuri bernama Ali Fansuri, ayah dari Abdur Rauf Singkel Fansuri. Mengikut sarjana bahasa yang memahami syair mengatakan bahwa Hamzah Fansuri lahir di tanah Syahrmawi, tapi tidak ada sebarang penjelasan mengenai dimana tanah Syahrmawi itu berada. Ada yang mengatakan di tanah Aceh sendiri ada yang menunjuk tanah Siam, dan  bahkan ada sarjana yang menunjuk negeri Persia sebagai tanah yang di Aceh oleh nama Syamawi.

      Kiranya namanya di Nusantara di kalangan ulama dan sarjana penyelidik keislaman tak asing lagi. Hampir semua penulis sejarah Islam mencatat bahwa Syeikh Hamzah Fansuri dan muridnya Syeikh Syamsuddin Sumatrani adalah dengan al-Hallaj, faham hulul, ittihad, mahabbah dan lain-lain adalah seirama. Syeikh Hamzah Fansuri diakui seorang pujangga Islam yang sangat popular di zamannya, sehingga kini namanya menghiasi lembaran-lembaran sejarah kesusasteraan Melayu dan Indonesia. Namanya tercatat sebagai tokoh kaliber besar dalam  perkembangan Islam di nusantara dari abadnya hingga ke abad  kini. Dalam buku-buku sejarah mengenai Aceh namanya selalu diuraikan dengan panjang. 

      Hamzah Fansuri menghasilkan karya tulis yang banyak, akan tetapi karya-karya tulisnya itu bersama karya-karya tulis Syamsuddin Sumatrani, dibinasakan (dibakar) berdasarkan perintah Sultan Iskandar Sani atau anjuran Huruddin al-Riniri, mufti dan penasihat agama di Istana Sultan tersebut. Di antara syair-syair Syeikh Hamzah Fansuri terkumpul dalam buku-buku yang terkenal, dalam kesusasteraan Melayu/ Indonesia tercatat buku-buku syairnya antaranya, Syair Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Ikan Tongkol, Syair Perahu. 

      Karya-karya Syeikh Hamzah Fansuri baik yang berbentuk syair mahupun berbentuk prosa banyak menarik perhatian para sarjana baik sarjana barat atau orientalis barat mahupun sarjana tempatan.  Puisi-puisi penyair sufi biasanya tidak lengkap tanpa disertai tanda-tanda kesufian seperti, faqir, asyiq dan lain sebagainya. Tanda serupa ini kita jumpai di dalam sajak-sajak Hamzah Fansuri. Antara tanda kesufian yang banyak ditemukan dalam syair-syair Hamzah Fansuri ialah anak dagang, anak jamu, anak datu, anak ratu, orang uryani, ungkas quddusi, dan kadang-kadang digunakan dengan nama pribadinya seperti Hamzah Miskin, Hamzah Gharib dan lain-lain.

      Syeikh Hamzah Fansuri bukan hanya seorang ulama tasawuf dan sasterawan terkemuka, tetapi juga seorang perintis dan pelopor bagi perkembangan kebudayaan Islam dan sumbangannya sangat besar. Di bidang keilmuan Syeikh telah mempelajari penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang demikian sistematis dan bersifat ilmiah. Sebelum karya-karya Syeikh muncul, masyarakat muslim Melayu mempelajari masalah-masalah agama, tasawuf dan sastera melalui kitab-kitab yang ditulis di dalam bahasa Arab atau Persia. Di bidang sasetra Syeikh mempelopori pula penulisan puisi-puisi filosofi dan mistis bercorak Islam, kedalaman kandungan puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair lain yang sezaman ataupun sesudahnya. Penulis-penulis Melayu abad ke-17 dan 18 kebanyakan berada di bawah bayang-bayang kegeniusan dan kepiawaian Syeikh Hamzah Fansuri.




3. Raja Ali Haji





Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad atau Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak ataupun  lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji, ialah ulama, ahli sejarah, serta pujangga Melayu-Bugis. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti, yang ketika itu dibawah pemerintahan Johor-Riau-Lingga dan Pahang. Beliau merupakan keturunan kedua(cucu) kepada Raja Haji Fisabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Riau-Lingga.



      Pada tahun 1822, sewaktu Raja Ali Haji masih kecil, beliau pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi (Jakarta). Ketika itu bapanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk berjumpa Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad  menjadi utusan kerajaan Riau  ke Jawa dan  waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya, Raja Ali untuk menemui banyak ulama bagi  memperdalam ilmu pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya oleh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Raja Ali Haji sempat belajar ilmu falak dengan beliau. Selain dapat mendalami ilmu keislaman, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van  Der Waal yang kemudian menjadi sahabatnya. Kira-kira tahun 1827/1243H, Raja Ali Haji mengikut bapanya, Raja Ahmad pergi ke Makkah al-Musyarrafah. Raja Ahmad dan Raja Ali Haji adalah di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. 



      Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam jangka masa yang agak lama. Semasa di Mekah, Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau sempat belajar beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu menjadi Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu di Mekah. Beliau bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itulah, Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya datang ke Riau, dan  jika ulama tersebut bersetuju untuk datang, ulama itu akan dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya, Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah (Mesir).



      Pada zaman dahulu, kerajaan Riau-Johor memiliki ramai ulama antaranya Habib Syaikh keturuan as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri dan ramai lagi. Tambahan lagi, saudara sepupu Raja Ali Haji yang bernama Raja Ali bin Raja Ja’far menjadi Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857) menggantikan saudaranya Raja Abdur Rahman bin Raja Haji Yamtuan  Muda Kerajaan Riau VII (taun 1833-1845). Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara sepupunya itu untuk mengajar agama Islam sehinggakan Raja Ali bin Raja Ja’far juga turut belajar dengan Raja Ali Haji.



      Kemudian, Raja Ali Haji mula menceburkan diri dalam bidang pendidikan. Beliau dikatakan telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasawuf dan lain-lain. Raja Ali Haji mempunyai kepakaran yang tinggi dalam ilmu pengetahuan Islam, bahkan beliau memang seorang ulama besar pada zamannya. Ramai anak murid Raja Ali Haji yang telah menjadi tokoh terkemuka, antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi Yamtuan Muda Riau IX (1857-1858). Dalam ilmu syariat, Raja Ali Haji berpegang teguh dengan Mazhab Syafie, dalam  iktikad beliau  berpegang kepada fahaman Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi, manakala amalan dalam ilmu tasawuf beliau adalah seorang penganut Tarekat Naqsyabandiyah dan mengamalkan Selawat Dalail al-Khairat yang dibangsakan kepada Saiyid Sulaiman al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun sejak datuk-datuknya terutama Raja Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika mangkat masih tetap memegang kitab selawat tersebut di tangannya, sementara pedang terhunus di tangannya yang satu lagi. Raja Ali Haji meninggal dunia di Riau pada sekitar tahun 1873. Beliau ditetapkan oleh pemerintah Republik Indonesia sebagai pahlawan negara pada tahun 2006.   

     
      Beliau telah menghasilkan banyak karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam. Misalnya, Gurindam Dua Belas banyak dibicarakan dalam  pelajaran sastera. Gurindam Dua Belas terdiri dari dua belas fasal dan kandungannya  banyak menyangkut perkara ibadat individu, kewajipan-kewajipan  para raja dan sifat-sifat masyarakat, kewajipan orang tua kepada anak dan kewajipan anak kepada orang tua, dan lain-lain. Dalam bidang bahasa, beliaulah orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa. Bustanul Katibin ditulis tahun 1267H/1850M, diterbitkan dengan huruf batu (litografi) di Pulau Penyengat, Riau. Bustanul Katibin terdiri dari 31 pasal, tebalnya hanya 70 halaman. Kitab Pengetahuan Bahasa pula ditulis tahun 1275 H/1858M, menggunakan nama pengarang pada halaman depan cetakan Al-‘Alim Al-Fadhil Al-Marhum Raja Ali Haji ibni Al-Marhum Raja Haji Ahmad  ibni Al-Marhum Yang Di Pertuan Muda Raja Haji Asy-Syahid fi Sabilillah Ta’ala, terbitan pertama, penggal yang pertama Matba’ah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 H/11 Disember 1929. Raja Ali Haji muncul sebagai tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya (Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani Sobi, 1999).

Sumbangan beliau terhadap persuratan Melayu amat penting. Daya kreativitinya dan kepekaannya terhadap permasalahan yang berlaku di sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Dalam bidang agama, beliau menjadi guru kepada Yamtuan Muda Riau selain mengajarkan agama Islam kepada pembesar dan rakyat jelata. Dalam bidang sejarah, beliau berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-Raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Untuk pertama kalinya juga beliau menggarap penulisannya secara lebih realistik sekaligus mengurangkan unsur-unsur mitos, dongeng dan khayalan dalam penghasilan karya. 


      Ternyata Raja Ali Haji seorang tokoh yang tiada tolok banding jika diteliti karya-karyanya yang meliputi pelbagai bidang itu. Menurut Wan Samsuddin Mohd. Yusoff (1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan Winstedt bersependapat menyatakan bahawa sesudah sejarah Melayu, Tuhfatul Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu. Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali Haji tetap dianggap pengarang klasik. Beliau bergaul dengan sarjana-sarjana dan pembesar-pembesar Barat, tetapi pengaruh mereka tidaklah besar. Dalam hal ini, Raja Ali Haji berbeza dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang menurut R.Roolvink dalam Mohamad Daud Mohamad (1987) telah berada di perbatasan  kebudayaan Timur dan Barat. Abdullah sudah keluar daripada lingkungan masyarakatnya sendiri walaupun tidak secara keseluruhan. Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, namun demikian beliau  menganggap nilai-nilai Barat tidak sesuai dengan masyarakat Melayu. Pujangga ulung ini tetap berdiri teguh dalam lingkungan kebudayaan Melayu dan dengan keras mempertahankan nilai-nilainya.


4. Tun Seri Lanang

Tun Seri Lanang adalah penulis dan pengarang Sejarah Melayu. Meskipun pandangan yang berbeza dari segi kedudukannya sebagai pengumpul, penyusun, penyunting dan pengarang, tetapi Tun Seri Lanang tetap dipersetujui sebagai orang yang bertanggujawab dalam merealisasikan kehendak Sulatan Abdullah Maayah Syah ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah, dalam suatu majlis di hadapan pembesar negeri yang menyatakan kewujudan sebuah Hikayat Melayu di Goa, Sulawesi. Baginda memerintahkan didapatkan kitab tersebut, diperbaiki dan dibaca untuk panduan generasi muda akan datang.

      Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad, bergelar Paduka Raja yang memegang jawatan bendahara kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II dan Sultan Alauddin Shah III antara tahun 1580 dan 1615. Beliau dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau sebenarnya tidak terkenal dalam bidang mengarang tetapi lebih terserlah sebagai pemimpin pada zamannya. Akan tetapi, beliau meminati dunia kepengarangan  menyebabkan beliau menyempurnakan titah raja yang mengkehendakkan beliau menulis mengenai salasilah keturunan diraja pada 1612M, iaitu semasa Raja Abdullah bersemayam di Pasir Raja atau dikenali sebagai Pekan Tua. Beliau telah mendapatkan kitab (Hikayat Melayu) dan menyusun, menambah dan memperbaiki mana-mana yang perlu. Beliau mula mengaranag pada bulan Februari 1614 sewaktu di Johor dan kemudian disambung di Acheh. Hal ini bermakna Sejarah Melayu telah ditulis 103 tahun setelah Melaka ditawan Portugis. Tambahan pula semasa menulis Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang berada di Acheh setelah ibu kota Kesultan Johor Lama ditawan oleh Acheh. Setelah beliau selesai mengarang, beliau sedar bahawa teks tersebut berkaitan dengan keturunan diraja dan diberi nama Sulalatus Salatin yang beerti "Salasilah Segala Raja-Raja"kemudian diterjemahkan oleh golongan moden menjadi Sejarah Melayu.

      Sejarah Melayu yang dikarang oleh beliau menampakkan kebijaksanaan beliau dalam mencatatkan pengalaman dan pemerhatian beliau pada zamannya dengan mencatat dan menulis tarikh peristiwa-peristiwa yang beliau khabarkan dalam karya tersebut. Hal inilah yang menyebabkan karya beliau menjadi rujukan zaman berzaman dalam kajian ketamadunan Melayu. Sejarah Melayu tidak hanya memaparkan kisah-kisah raja bahkan melibatkan cerita pembukaan negeri, aktiviti-aktiviti raja, undang-undang bernegeri dan berkerajaan. Dalam karya beliau inilah kita dapat melihat gambaran kehidupan dan budaya masyarakat Melayu feudal. Meskipun karya beliau bercampur dengan unsur mitos dan legenda namun, sejarah Melayu yang dinyatakan beliau lebih kuat. Bahan-bahan penceritaannya menggambarkan budaya orang Melayu terutamanya mengenai watak pemerintah dan bangsa Melayu sendiri.

      Pada 1659M, Tun Seri Lanang telah meninggal dunia di Samalanga, Aceh dan zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana manakala sebahagian zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

Rujukan : Penghayatan Karya Agung Melayu (Seri Lanang Jaya Hj Rohani, Abd RahmanNapiah, Hj Mohd Rashid bin Md Aris, 2013 : 34-36)