Thursday, March 13, 2014

KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

Pengenalan

Tamadun sesuatu bangsa adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai yang terdiri daripada karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah  dan ilmuawan bangsa itu (Hassan Ahmad, 2005). Karya-karya ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah – semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa. Maksud ‘luar biasa’ ini dapat kita lihat dan rasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan, sama ada secara sedar, spontan, atau secara ‘terancang’, bagi menyampaikan sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad, 2005).

Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan perlakuannya. Karya yang ketika itu dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti  yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat seperti ini disebut sebagai karya agung.

Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, China, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
Konsep Karya Agung Melayu

Berdasarkan konsep karya agung yang dibincangkan terdahulu, maka ‘Karya Agung Melayu’ ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni,budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalm minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.

Karya agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tanpa mengambil kira kelompok mana bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau, dan selainnya yang menghasiilkan karya itu. Dengan perkataan lain, sempadan geografi dan etnik tidak timbul. Yang penting karya berkenaan mampu mencetuskan unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun- temurun dalam bentuk dan gaya yang hebat.

Antara karya-karya agung agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya, iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar  tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya , dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini, iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al-Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Raja Aceh, Pantun Melayu : Bingkisan Permata, Syair Ken Tambuhan, Undang-undang Melaka, Hikayat Abdullah, Cerita Lipur Lara, Bustan al-Katibin, Cerita Jenaka Melayu, Hikayat Panji Jayeng Kusuma, dan Hikayat Inderaputera.

Karya Agung Dunia Melayu

Karya agung dunia Melayu dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung. Antaranya ialah Nagarakertagama atau Serat Chentini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan Karyawan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.

Rujukan :

3. Buku: Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Wednesday, March 12, 2014

DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU

Definisi Etimologi

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 402), perkataan etimologi bermaksud salah satu cabang linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata.

Asal Usul Perkataan Melayu

Terdapat banyak pandangan yang dibuat mengenai asal usul perkataan Melayu. Antaranya :

1. Perkataan Melayu terbit daripada perkataan Sankrit, iaitu "Malaya" atau daripada perkataan Tamil, "Malai" yang bermaksud 'bukit atau tanah tinggi' (Mohd Rashid 2007).

2. M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul 'Geographike Sintaxis'.  

3.  Kitab Hindu Purba yang berjudul Purana terdapat perkataan malaya-dvipa

4.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. 

5. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu Kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang. Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahasa yang dituturkan penduduk di situ ialah bahasa K’un-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno.  

6.  Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada bahagian belakangnya. 

7. Buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.

8. Berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan “hima alaya”. “Alaya” bermaksud “tempat” manakala “hima alaya” bermaksud “tempat bersalji”. 

9. Perkataan Malayapura yang bermaksud “kota Melayu” atau “kerajaan Melayu”. 

10. Dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, mlayu yang bermaksud “mengembara” atau “pergi ke mana-mana”. 

11. Van der Tuuk , perkataan Melayu bererti “menyeberang”, merujuk kepada orang Melayu yang  menukar agama daripada agama Hindu-Buddha kepada Islam.
 
 
Definisi Bangsa Melayu


Jika menurut pandangan antropologi, orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Asal usul Bahasa Melayu sebenarnya sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Terdapat dua teori yang diketengahkan oleh para sarjana bahasa dimana bangsa Melayu berasal daripada Yunan (Teori Yunan) dan berasal daripada Nusantara (Teori Nusantara). 

1. Teori Yunan

Teori Yunan merupakan teori yang popular dan digunakan dalam buku Teks Pengajian Malaysia. Dalam teori Yunan, beberapa orang sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Hj. Omar menyokong pendapat ini berdasarkan beberapa alasan, iaitu:
  • Kapak tua yang mirip Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk di Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  • Adat resam Melayu hampir sama dengan suku Naga di daerah Assam (berhampiran dengan sempadan India dan Myanmar).
  • Bahasa Melayu serumpun dengan bahasa di Kemboja. Penduduk Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyususri Sungai Mekong. Perhubungan antara bangsa Melayu dan bangsa Kemboja menunjukkan pertalian bangsa Melayu dengan dataran Yunan.

Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya : 
  •       Orang Negrito 
     Merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka dikatakan wujud sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Ciri-ciri mereka diwarisi daripada orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, dan mempunyai saiz badan yang pendek. 
  •       Melayu Proto
    Perpindahan Melayu Proto ke Kepulauan Melayu diperkirakan berlaku pada 2,500SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam.  
  •      Melayu Deutro
    Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar. 

2. Teori Nusantara

Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:
  •      Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
  • K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa. Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena "ambilan".
  • Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.
  • Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

Tuesday, March 11, 2014

PENGENALAN

Kursus Karya Agung Melayu merupakan salah satu kursus major untuk pelajar Ijazah Sarjana Muda (ISMP) Bahasa Melayu. Kursus ini membincangkan karya agung yang menjadi pembentuk tradisi, tamadun dan pandangan semesta bangsa Melayu. Sepanjang kursus ini pelajar didedahkan tentang genre, gagasan, seni penulisan, nilai ilmu, dan falsafah karya agung Melayu. 

Pelajar diberikan satu projek untuk menghasilkan satu blog yang bertajuk 'Karya Agung Melayu' sebagai tugasan kumpulan ke-5. Oleh itu, kami telah membina blog ini untuk memuatkan maklumat-maklumat yang berkaitan dengan karya agung sejajar dengan kehendak tugasan. Kami berharap, maklumat yang akan dicoretkan dan dikongsikan dalam blog ini dapat memberi manfaat kepada para pembaca umumnya dan pelajar Kursus Karya Agung Melayu, BMS 3022 khususnya.


...Salam karya agung buat semua...