Thursday, April 3, 2014

CONTOH KARYA AGUNG

Pengenalan

Terdapat pelbagai karya yang diiktiraf sebagai karya agung mengikut takrifan dan konsepnya.  Karya agung di bawah merupakan contoh karya agung yang terkenal  di tanah Melayu. Antara karya agung yang terkenal ialah:

1. Hikayat Abdullah

 Hikayat Abdullah : Halaman TajukHikayat Abdullah

Sinopsis Hikayat Abdullah

Hikayat Abdullah Munsyi merupakan suatu penceritaan yang menggambarkan kehidupan penduduk negeri Melaka. Keadaan ini berlaku dalam tahun 1800 hingga tahun 1840-an. Peristiwa yang berlaku dialami, dilihat dan didengar  sendiri oleh Abdullah Munsyi (Abdullah Bin Abdul Kadir Munsyi).Hikayat Abdullah bukan berupa penulisan sejarah atau politik yang tulin. Buku tersebut tidak membentangkan suatu analisis sejarah yang mengesahkan pergolakan politik dan pemerintahan. Tiada sebarang tarikh yang spesifik atau releven dimuatkan dalam kisah-kisah yang dihuraikan oleh beliau.

Hikayat Abdullah mengandungi riwayat hidup Abdullah, keturunan, perihal zaman kanak-kanak, zaman persekolahan, serta minat dan latar belakang keluarga beliau. Namun semua itu hanya terkandung pada permulaan hikayat ini sahaja iaitu sebagian kecil sahaja daripada penceritaan Hikayat Abdullah. Bagaimanapun, sesetengah tokoh sastera atau sejarah berpendapat bahawa Hikayat Abdullah boleh diklasifikasikan sebagai sebuah penulisan autobiografi. Sebahagian besar yang dikisahkan di dalam Hikayat Abdullah adalah berkaitan peristiwa harian terutamanya yang berkaitan dengan perhubungan dan pengalaman Abdullah sendiri dengan orang-orang Inggeris, iaitu para pegawai Inggeris yang bekerja di dalam kerajaan atau di luar kerajaan, selain itu, penceritaan ini juga berhubungan tentang penduduk tempatan dengan pemerintah. Oleh sebab itu, terdapat tokoh sastera yang berpendapat kurang tepat jika menyifatkan buku tersebut sebagai autobiografi.

Dalam Hikayat Abdullah ini juga, Abdullah sering menurunkan pemikiran dan falsafah beliau terhadap beberapa isi. Misalnya berkenaan dengan bahasa Melayu, berkenaan sikap orang Melayu, kepandaian dan teknologi orang Eropah,  dan berkenaan sistem pemerintahan Inggeris yang berteraskan undang-undang bertulis, keadilan bersistem serta teratur. Hikayat ini juga cuba memaparkan sejarah sosial pada zaman Abdullah Munsyi semasa beliau tinggal di Melaka. 


Pendekatan sejarah sosial ini cuba melihat sejarah bukan dari sudut pergolakan politik, tetapi lebih menumpukan sudut perhubungan dalam masyarakat. Antara aspek yang menjadi fokus ialah corak pergaulan dan adat resam, budaya serta perhubungan antara masyarakat, sistem ekonomi, pendidikan, sebutan dalam bahasa, corak pemikiran serta keupayaan masyarakat dan sebagainya. Rangkuman sosial ini juga meliputi perhubungan para penduduk dengan pihak pemerintah dalam sesuatu zaman. Oleh yang demikian, sudut sejarah sosial lebih bersifat neutral, tidak berat sebelah dan tidak prejudis. Sejarah sosial tidak dipengaruhi unsur ‘siapa yang benar, siapa yang salah’ kerana segala peristiwa yang telah berlaku itu, memang benar-benar berlaku, berpadanan dengan suasana persekitaran dan corak pemerintahan serta politik sezaman. Semua ini menjadi sebagian daripada apa yang dikatakan dan diakui sebagai fakta-fakta sejarah.Segala peristiwa yang dilihat, didengar dan dialami oleh beliau, iaitu kisah-kisah harian yang berlaku di Bandar Melaka sepanjang tempoh kira-kira dari tahun 1800 sehingga 1840, cuba dipaparkan di dalam hikayat ini.


2. Syair Ken Tambuhan

Syair Ken TambuhanSyair Ken Tambuhan

Sinopsis  Syair Ken Tambuhan

Syair Ken Tambuhan ini mengisahkan tentang seorang puteri jelita bernama Ken Tambuhan atau nama asalnya ialah Puteri Puspa Kencana yang telah menjadi tawanan kepada Raja Kuripan. Pertemuan pertamanya dengan Raden Menteri bermula sewaktu wira tersebut cuba mendapatkan burung yang dipanahnya. Ken Tambuhan terpengaruh dengan pujuk rayu Raden Menteri sehinggalah hubungan mereka tidak disenangi oleh Permaisuri. Palebaya telah diperintahkan oleh Permaisuri supaya membunuh Ken Tambuhan sewaktu Raden Menteri keluar mencari menjangan atau rusa idaman Permaisuri di dalam hutan. Ken Tambuhan telah dibunuh bersama dua orang inangnya  dan mayat mereka telah diletakkan  di atas sebuah rakit yang ditaburi bunga angsana lalu dihanyutkan ke sungai.

Rakit tersebut telah ditemui oleh Raden Menteri. Baginda sangat sedih dan disebabkan rasa cintanya yang amat kental, Raden Menteri telah membunuh dirinya sendiri. Berita sedih ini sampai kepada pengetahuan Raja dan Permaisuri. Seluruh negara berkabung di atas peristiwa tersebut. Raja yang murka terhadap Permaisuri telah menghalau Permaisuri keluar dari istana serta dihukum menjaga anjing perburuan. Raja terus menjalani pertapaan, dan usaha tersebut telah menarik minat dewa-dewa untuk menghidupkan kembali Ken Tambuhan dan Raden Menteri. Dengan bantuan Seri Betara, kedua-duanya telah dihidupkan kembali dengan menggunakan bunga Gandapura Wangi kepunyaan Bidadari Sugarba. Kegembiraan terus menyelubungi  istana dan tersebar luas hingga ke Daha. Ratu Daha datang berkunjung ke Kuripan. Kedua-dua raja bertemu lalu terbongkarlah rahsia bahawa Ken Tambuhan sebenarnya ialah puteri kepada Ratu Daha. Akhirnya, mereka hidup gembira dan Raden Menteri dirajakan untuk memerintah kedua-dua negeri, iaitu Kuripan dan Daha.


3. Sulalatus Salatin


Sinopsis Sulalatus Salatin

Sulalatus Salatin menceritakan tentang raja-raja Melaka seramai sepuluh orang yang memerintah Melaka. Tun Seri Lanang menceritakan seorang demi seorang daripada Melaka mencapai zaman kegemilangan hinggalah Melaka menuju zaman kejatuhannya. Pada cerita terakhir dikisahkan angkatan Peringgi yang diketuai oleh Alfonso d’Albuquerque menyerang Melaka. Akhirnya Melaka tewas kepada Peringgi dan menyebabkan Sultan Mahmud lari ke negeri Pahang. Sulalatus Salatin memaparkan 34 kisah yang meyingkap mengenai pemerintahan Melayu Melaka dan kisah-kisah yang boleh dijadikan ikhtibar oleh masyarakat Melayu. Kisah-kisah yang diceritakan dalam buku ini bercampur aduk di antara perkara yang betul-betul benar dan mitos-mitos yang dipercayai oleh masyarakat Melayu. Contohnya perkara yang betul-betul benar adalah mengenai zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka dan perkara-perkara mitos pula ialah mengenai tulah raja. Tulah raja yang ditulis hanyalah mitos dan perkara mengenai tulah ini di tulis supaya rakyat akan akan takut kepada raja dan seterusnya mereka akan patuh dan taat kepada perintah raja.

Peristiwa yang berlaku di dalam Sulalatus Salatin ini berkisarkan tentang latar tempat yang luas dan tempoh waktu yang agak panjang. Latar tempat yang diceritakan di dalam Hikayat Sejarah Melayu ini tidak hanya berfokus di negeri Melaka semata-mata malahan turut berlaku di tempat-tempat lain seperti Majapahit, Siam, China, Keling dan sebagainya. Manakala latar masa perkembangan cerita di dalam hikayat ini juga mengambil masa yang lama iaitu melebihi seratus tahun. Ianya bermula dari awal zaman pembukaan negeri Melaka sehinggalah negeri Melaka jatuh ke tangan Feringgi pada tahun 1511. Pengkisahan yang berlaku adalah di sekitar raja-raja Melayu bertujuan untuk menggambarkan kedudukan dan kebesaran raja-raja Melayu Melaka yang memerintah dan keagungan yang diperintah oleh mereka.

4. Hikayat Hang Tuah


Sinopsis Hikayat Hang Tuah

Hikayat ini mengisahkan seorang pemuda yang bernama Hang Tuah, anak kepada Hang Mahmud dan Dang Merdu. Merekat tinggal di Sungai Duyung. Pada saat itu, semua penduduk di Sungai Duyung telah mendengar mendengar cerita tentang kebaikan Raja Bintan terhadap rakyatnya. Lantas, Hang Mahmud mengajak isterinya, Dang Merdu untuk berhijrah ke sana kerana kehidupan mereka yang miskin bagi mendapatkan peluang pekerjaan dan menjalani hidup yang lebih baik lagi di Bintan. Pada malam harinya, Hang Mahmud telah bermimpi bulan turun dari langit dan cahayanya bersinar penuh di atas kepala Hang Tuah. 

Semasa berumur sepuluh tahun, Hang Tuah bersahabat baik dengan Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Mereka digelar “Lima Sahabat”. Semasa Hang Tuah dan sahabatnya belayar ke Pulau Tinggi, mereka telah terserempak dengan sekumpulan lanun. Mereka telah diserang oleh lanun tersebut dan mereka telah berjaya mengalahkan lanun-lanun tesebut. Hang Tuah lima sahabat telah berguru dengan Aria Putera di Bukit Panchalusa selama tujuh hari. Setelah itu, mereka perlu meneruskan perguruan mereka dengan Sang Persata Nala di Gunung Wirana, Majapahit apabila berumur 23 tahun. Sifat kepahlawanan Hang Tuah mula terserlah apabila Hang Tuah berjaya membunuh orang mengamuk yang cuba membunuh Bendahara. Oleh kerana keberanian Hang Tuah dan sahabatnya membunuh pengamuk itu, mereka telah dilantik menjadi Biduanda Raja. 

Kegagahan dan keperkasaan semakin jelas diperlihatkan apabila Hang Tuah berjaya mengalahkan Taming Sari ketika membawa rombongan meminang Puteri Majapahit iaitu Raden Mas Ayu. Taming Sari merupakan pahlawan yang handal dan terbilang di Majapahit. Taming Sari berjaya dikalahkan oleh Hang Tuah yang berjaya menukarkan keris Taming Sari dengan kerisnya dengan menggunakan tipu helah. Hang Tuah telah dikurniakan gelaran Laksamana dan diberi kuasa untuk memerintah Sungai Jemaja.

Peristiwa pembunuhan Hang Tuah telah menimbulkan kemarahan Hang Jebat. Hang Jebat bertindak menderhaka kepada Sultan untuk menunjukkan ketidakpuasan hatinya. Beberapa hulubalang telah diperintahkan untuk membunuh Hang Jebat tetapi gagal. Oleh itu, bendahara telah menceritakan hal sebenarnya dan Hang Tuah telah dipanggil balik daripada tempat persembunyiannya. Akhirnya terjadilah pertikaman antara Hang Tuah dan Hang Jebat. Dengan tipu helah, akhirnya Hang Tuah telah berjaya membunuh Hang Jebat.

5. Hikayat Raja-Raja Pasai


Sinopsis Hikayat Raja-Raja Pasai

Hikayat Raja Pasai bermula dengan kisah dua orang raja yang bersaudara, iaitu Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Pada awalnya, mereka ingin membuka negeri di Samarlangga. Ketika menebas hutan untuk membuka negeri, Raja Muhammad telah menemui seorang kanak-kanak perempuan dari sebuah pokok buluh. Lalu dia mengambil kanak-kanak itu, dan menjadikannya sebagai anaknya sendiri. Kanak-kanak itu dinamakan Puteri Betung. Raja Ahmad pula mendapat seorang anak lelaki yang dijaga oleh seekor gajah. Anak lelaki itu dinamakan Merah Gajah. Setelah dewasa, Puteri Betung dan Merah Gajah dinikahkan. Mereka mendapat dua orang anak lelaki yang diberi nama Merah Silau dan Merah Hasum. 

Pada suatu hari, Merah Gajah melihat sehelai rambut Puteri Betung yang berwarna emas. Dia meminta untuk mencabut rambut itu dari Puteri Betung tetapi Puteri Betung tidak mengizinkannya. Namun demikian, Merah Gajah tetap mencabut rambut itu ketika Puteri Betung sedang tidur. Akibat daripada perbuatan itu, keluarlah darah putih dari kepala Puteri Betung kemudian beliau meninggal dunia. Apabila diketahui oleh Raja Muhammad, baginda sangat marah lalu membunuh Merah Gajah. Apabila Raja Ahmad mengetahui bahawa anaknya dibunuh, baginda terus melancarkan perang terhadap Raja Muhammad. Akhirnya, kedua-dua raja tersebut menemui ajal dalam peperangan tersebut. 

Setelah perang selesai, Merah Silau dan Merah Hasum bersepakat untuk meninggalkan negeri Samarlangga dan berniat untuk membuka negeri lain. Merah Silu membuka negeri Samudera. Setelah diislamkan, Merah Silau menukar namanya menjadi Malikul Saleh. Baginda kemudiannya mengahwini puteri Sultan Perlak, iaitu Puteri Ganggang. Daripada perkahwinan itu, lahir seorang anak lelaki yang diberi nama Malikul Tahir. Tampuk pemerintahan diambil alih pula oleh Malikul Tahil. Setelah baginda mangkat, kedua putera Malikul Tahir iaitu Malikul Mahmud dan Malikul Mansur yang mengambil alih tugas bapanya. Malikul Mahmud memerintah Samudera manakala Malikul Mansur memerintah negeri Pasai. Setelah Malikul Mahmud mangkat, takhta kerajaan jatuh ke tangan puteranya, Sultan Ahmad Perumudal Perumal. Pemerintah negeri Pasai diakhiri oleh Sultan Ahmad Perumudal Perumal kerana berlakunya zaman kejatuhan Pasai.

Rujukan:

No comments:

Post a Comment