DEFINISI DAN ETIMOLOGI MELAYU

Definisi Etimologi

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2007: 402), perkataan etimologi bermaksud salah satu cabang linguistik yang mengkaji asal usul dan perkembangan sesuatu kata.

Asal Usul Perkataan Melayu

Terdapat banyak pandangan yang dibuat mengenai asal usul perkataan Melayu. Antaranya :

1. Perkataan Melayu terbit daripada perkataan Sankrit, iaitu "Malaya" atau daripada perkataan Tamil, "Malai" yang bermaksud 'bukit atau tanah tinggi' (Mohd Rashid 2007).

2. M. Ptolemy menggunakan istilah maleu-kolon dalam karyanya yang berjudul 'Geographike Sintaxis'.  

3.  Kitab Hindu Purba yang berjudul Purana terdapat perkataan malaya-dvipa

4.  Catatan orang China yang menyatakan bahawa sebuah kerajaan Mo-lo-yeu mengirimkan Utusan ke negara China untuk mempersembahkan hasil bumi kepada raja China sekitar 644-645 Masihi. 

5. Satu lagi catatan orang China ialah catatan rahib Buddha bernama I-Tsing yang menggunakan kata ma-lo-yu tentang dua buah kerajaan yang dilawatinya sekitar 675 Masihi, iaitu Kerajaan Melayu di Sungai Batang dan Kerajaan Sriwijaya di Palembang. Catatan dalam kesusasteraan China menyatakan bahawa pengembara yang singgah di Nusantara mendapati bahasa yang dituturkan penduduk di situ ialah bahasa K’un-lun. Bahasa ini dipercayai oleh penyelidik sebagai bahasa Melayu kuno.  

6.  Sebuah patung di Padang Rocore, Batanghari bertarikh 1286 M dengan catatan perkataan “Malaya” atau “Melayu” pada bahagian belakangnya. 

7. Buku Sejarah Melayu mengaitkan perkataan Melayu dengan nama sebatang sebatang sungai yang deras alirannya, iaitu Sungai Melayu.

8. Berasal daripada perkataan Malaya, iaitu kependekan “hima alaya”. “Alaya” bermaksud “tempat” manakala “hima alaya” bermaksud “tempat bersalji”. 

9. Perkataan Malayapura yang bermaksud “kota Melayu” atau “kerajaan Melayu”. 

10. Dikatakan diambil daripada perkataan bahasa Jawa kuno, mlayu yang bermaksud “mengembara” atau “pergi ke mana-mana”. 

11. Van der Tuuk , perkataan Melayu bererti “menyeberang”, merujuk kepada orang Melayu yang  menukar agama daripada agama Hindu-Buddha kepada Islam.


Definisi Bangsa Melayu


Jika menurut pandangan antropologi, orang Melayu itu dari segi zahirnya, lazimnya berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Asal usul Bahasa Melayu sebenarnya sesuatu yang sukar ditentukan. Walaupun terdapat kajian dilakukan untuk menjelaskan perkara ini, tetapi kata sepakat antara para sarjana belum dicapai. Terdapat dua teori yang diketengahkan oleh para sarjana bahasa dimana bangsa Melayu berasal daripada Yunan (Teori Yunan) dan berasal daripada Nusantara (Teori Nusantara). 

1. Teori Yunan

Teori Yunan merupakan teori yang popular dan digunakan dalam buku Teks Pengajian Malaysia. Dalam teori Yunan, beberapa orang sarjana seperti R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, Slametmuljana dan Asmah Hj. Omar menyokong pendapat ini berdasarkan beberapa alasan, iaitu:
  • Kapak tua yang mirip Kapak Tua di Asia Tengah ditemui di Kepulauan Melayu. Perkara ini menunjukkan adanya migrasi penduduk di Asia Tengah ke Kepulauan Melayu.
  • Adat resam Melayu hampir sama dengan suku Naga di daerah Assam (berhampiran dengan sempadan India dan Myanmar).
  • Bahasa Melayu serumpun dengan bahasa di Kemboja. Penduduk Kemboja mungkin berasal daripada dataran Yunan dengan menyususri Sungai Mekong. Perhubungan antara bangsa Melayu dan bangsa Kemboja menunjukkan pertalian bangsa Melayu dengan dataran Yunan.

Berdasarkan teori ini, dikatakan orang Melayu datang dari Yunan ke Kepulauan Melayu menerusi tiga gelombang yang utama, yang ditandai dengan perpindahan Orang Negrito, Melayu Proto, dan juga Melayu Deutro. Berikut adalah huraiannya : 
  •       Orang Negrito 
     Merupakan penduduk paling awal di Kepulauan Melayu. Mereka dikatakan wujud sejak 1000 SM berdasarkan penerokaan arkeologi di Gua Cha, Kelantan. Ciri-ciri mereka diwarisi daripada orang Semang yang mempunyai ciri-ciri fizikal berkulit gelap, berambut kerinting, bermata bundar, berhidung lebar, berbibir penuh, dan mempunyai saiz badan yang pendek. 
  •       Melayu Proto
    Perpindahan Melayu Proto ke Kepulauan Melayu diperkirakan berlaku pada 2,500SM. Mereka mempunyai peradaban yang lebih maju daripada orang Negrito, ditandai dengan kemahiran bercucuk tanam.  
  •      Melayu Deutro
    Perpindahan orang Melayu Deutro merupakan gelombang perpindahan orang Melayu kuno yang kedua yang berlaku pada 1,500 SM. Mereka merupakan manusia yang hidup di pantai dan mempunyai kemahiran berlayar. 

2. Teori Nusantara

Teori ini didukung oleh sarjana-sarjana seperti J.Crawfurd, K.Himly, Sutan Takdir Alisjahbana dan juga Gorys Keraf. Teori ini adalah disokong dengan alasan-alasan seperti di bawah:
  •      Bangsa Melayu dan bangsa Jawa mempunyai tamadun yang tinggi pada abad ke-19. Taraf ini hanya dapat dicapai setelah perkembangan budaya yang lama. Perkara ini menunjukkan orang Melayu tidak berasal dari mana-mana, tetapi berasal dan berkembang di Nusantara.
  • K.Himly tidak bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa Bahasa Melayu serumpun dengan Bahasa Champa. Baginya, persamaan yang berlaku di kedua-dua bahasa adalah satu fenomena "ambilan".
  • Manusia kuno Homo Soloinensis dan Homo Wajakensis terdapat di Pulau Jawa. Penemuan manusia kuno ini di Pulau Jawa menunjukkan adanya kemungkinan orang Melayu itu keturunan daripada manusia kuno tersebut yakni berasal daripada Jawa dan mewujudkan tamadun bersendirian.


  • Bahasa di Nusantara (Bahasa Austronesia) mempunyai perbezaan yang ketara dengan bahasa di Asia Tengah (Bahasa Indo-Eropah).

No comments:

Post a Comment