Sunday, April 13, 2014

ULASAN KARYA AGUNG

1. ULASAN KITAB SULALATUS SALATIN

Sulalatus Salatin yang juga dikenali sebagai Sejarah Melayu merupakan kitab hasil kepengarangan Tun Sri Lanang. Karya ini menceritakan zaman kesultanan Melayu melaka yang dikatakan dibawa dari Goa. Goa yang selama ini dianggap di India, sebenarnya merupakan suatu tempat yang terletak di Sulawesi Indonesia. Karya ini telah dikarang oleh Tun Sri Lanang ketika beliau menjadi Bendahara Paduka Johor antara tahun 1580 hingga 1615. Tun Sri Lanang telah dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Sulalatus Salatin mengandungi 15 bab. Permulaan bab dibincangkan dengan jurai keturunan raja Melaka sehingga pembentukan Melaka ataupun sesudah pembukaan Melaka. Pembahagian perbincangan Sulalatus Salatin terbahagi kepada 2 bahagian, iaitu sebelum pembukaan kota Melaka [ mengandungi 4 bab] dan selepas pembukaan kota Melaka [ mengandungi 11 bab ].

Karya Sejarah Melayu ini mempunyai banyak versi. Karya agung ini mengutarakan pelbagai falsafah dan etika di dalamnya, iaitu tujuh falsafah. Antaranya ialah ketaatan kepada pemerintah, keadilan, waad, nilai dan etika, adat, keberanian, dan kekuasaan. Dalam karya ini, falsafah ketaatan dirujuk kepada beberapa orang tokoh yang disebut dalam karya ini, antaranya ialah Demang Lebar Daun, Hang Tuah, Bendahara Paduka Raja, Hang Nadim dan Bendahara Seri Maharaja. Demang Lebar Daun seorang yang taat apabila membenarkan puterinya berkahwin dengan Seri Tribuana. Hang Tuah pula terlalu taat kepada sultan sehinggakan rela menerima hukuman bunuh dari sultan setelah difitnah berkelakuan sumbang dengan dayang. Hang Tuah rela dihukum biarpun beliau tidak bersalah. Baginda Paduka Raja dikatakan taat kepada sultan apabila akur dan tidak memprotes apabila anaknya, Tun Besar dibunuh oleh anak sultan apabila bola sepak raganya terkena destar anakanda sultan lalu terjatuh ke tanah. Berpegang kepada prinsip “adat Melayu tidak pernah derhaka” maka Baginda Paduka Raja menerima perkara tersebut meskipun anaknya mati dibunuh. Kesimpulan yang dapat dibuat dari falsafah ketaatan ini, konsep ketaatan yang diamalkan terlalu keterlaluan dan terlalu mengagung-agungkan sultan biarpun tindakan sultan tersebut adalah salah dan melampau. Misalnya, keengganan Bendahara Seri Maharaja mempersembahkan puterinya kepada Sultan Mahmud telah menunjukkan ciri penderhakaan kepada sultan. Bendahara Seri Maharaja berpeluang untuk membantah hukuman bunuh yang dijatuhkan ke atas beliau sekeluarga. Beliau ketika itu dalam posisi sangat kukuh dari segi politik dan ekonomi sebaliknya beliau melarang para pengikutnya daripada memberontak. Mungkin peristiwa ini menabalkan beliau sebagai seorang yang taat kepada sultan.  

Falsafah kedua yang dibentangkan adalah Waad. Waad merupakan kontrak sosialdi antara Demang Lebar Daun dan Sang Sapurba. Jika waad ini dilanggar, maka pelbagai bencana akan menimpa seperti menghidapi penyakit kedal. Oleh itu, wujudnya perkara tulah dan daulat. Saya melihat waad ini sebagai suatu kontrak atau perjanjian di antara golongan pemerintah dan rakyat. Terkandung pelbagai perjanjian yang bertimbal balik. Contohnya, rakyat tidak boleh menderhaka kepada raja dan raja juga tidak boleh menzalimi rakyat. Rakyat tidak boleh menderhaka dan perlu taat kepada raja. Perjanjian ini dapat membuatkan rakyat tunduk patuh kepada raja dan sekiranya tidak patuh, mereka akan ditimpa bencana.  

Falsafah ketiga yang diutarakan ialah falsafah keadilan. Contohnya, Sultan Muzaffar Syah wujudkan undang-undang untuk mengelakkan menteri melakukan kesilapan. Ganjaran kepada kesilapan adalah hukuman. Dalam kitab ini, tidak banyak yang ditonjolkan mengenai sikap raja yang adil. Ketidakadilan raja juga dengan beraninya ditonjolkan oleh Tun Sri Lanang. Beliau patut dipuji kerana tidak hanya amenceritakan kebaikan sahaja, malah turut menceritakan kezaliman raja terhadap rakyat dan pembesar-pembesarnya. Terdapat banyak peristiwa yang mempamerkan ketidakadilan raja.  

Falsafah keempat yang ditonjolkan telah dalam pembentangan adalah falsafah adat. Adat merupakan peraturan yang diamalkan sejak turun – temurun. Adat perlu dipatuhi. Dalam Kitab ini terdapat banyak adat Melayu yang diamalkan oleh golongan diraja dan golongan rakyat. Ada antaranya masih digunapakai dan ada juga di antaranya diubahsuai supaya sesuai dengan peredaran masa.  

Falsafah kelima yang ditunjukkan adalah falsafah kekuasaan. Kitab ini terlalu banyak menceritakan kekuasaan raja. Raja sangat berpengaruh dari segala sudut. Raja berkuasa menitahkan apa sahaja kepada rakyat da rakyat perlu menunaikannya jika tidak mahu dihukum. Kuasa raja sebagai kuasa mutlak terlalu banyak menindas golongan rakyat. Kandungan kitab ini mempamerkan sikap raja yang kejam dan sanggup berbuat apa sahaja demi mendapatkan sesuatu. Raja pada zaman dahulu terlalu berkuasa sehingga bertindak zalim di luar batas kemanusiaan. Justeru, tidak hairanlah mengapa rakyat begitu patuh kepada raja biarpun diperlakukan dengan buruk rupa. 

Falsafah keenam yang ditonjolkan dalam pembentangan ialah keberanian. Keberanian raja merujuk kepada keberaniannya menjajah dan mentakluk negeri lain untuk meluaskan pengaruh jajahannya. Dalam kitab ini, turut diceritakan mengenai sikap keberanian yang ditonjolkan oleh golongan rakyat biasa seperti Badang. Kitab ini banyak menonjolkan ketokohan keberanian Hang Tuah. Hang Tuah digambarkan sebagai seseorang yang sangat hebat. Perkara ini seperti sengaja ditonjolkan untuk menunjukkan kehebatan orang Melayu pada waktu tersebut.  

Falsafah ketujuh yang ditonjolkan ialah nilai dan etika. Etika dan nilai yang digarap dalam kitab ini diwarisi rakyat. Selain itu, kitab ini juga menggariskan tugas-tugas raja dan pembesar dan peranan-peranan rakyat. Raja juga sebagai bayangan tuhan atau payung kepada rakyat. Justeru, taat dan setia perlu ditumpahkan kepada raja sepenuhnya. Kesimpulannya, secara keseluruhan dapat dilihat betapa karya agung ini bersifat sejagat dan menyeluruh. Namun, terdapat unsur-unsur mitos yang seakan-akan tidak masuk akal di dalam kitab ini. Kekuasaan yang ditonjolkan oleh raja secara melampau dan juga kezaliman raja menunjukkan betapa tidak adilnya raja pada suatu ketika dahulu. Dalam kitab ini juga ditonjolkan secara melampau ketaatan kepada raja. Justeru, pepatah “adat Melayu tidak menderhaka’ begitu terserap dalam masyarakat Melayu pada suatu ketika dahulu. 

2. ULASAN HIKAYAT ABDULLAH

Hikayat Abdullah merupakan biografi atau penceritaan pengalaman hidup Munsyi Abdullah atau nama sebenarnya Abdullah Bin Abdul Kadir. Hikayat ini mengandungi segala hal yang berlaku pada diri Munsyi Abdullah dan masyarakat selat pada masa pemerintahan Inggeris dan peralihan kuasa Inggeris kepada Belanda di Melaka. Hikayat ini merupakan dokumentasi sejarah yang berlatar belakangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada abad ke -19 yang diceritakan mengikut perspektif beliau yang hidup pada zaman tersebut.. Turut diceritakan dalam hikayat ini mengenai kisah pembukaan Singapura dan pembangunannya pada awal abad ke -19.

Dalam hikayat ini, Munsyi Abdullah telah mengkritik gaya hidup dan kepercayaan masyarakat yang berbilang kaumdi Melaka pada masa itu yang terdiri daripada empat kapitan, iaitu Keling, Cina, Nasrani, dan Melayu. Masyarakat pada zaman tersebut begitu taksub dengan kepercayaan tahyul terutamanya masyarakat Melayu yang begitu mempercayai penanggal dan polong. Perkara ini diceritakan dengan teliti tentang asal-usul makhluk-makhluk ini serta cara untuk membunuhnya. Dalam hikayat ini, beberapa kali Munsyi Abdullah menyatakan kebencian beliau terhadap kepercayaaan karut-marut masyarakat Melayu pada ketika itu. Hikayat ini boleh dikatakan sebagai dokumentasi Abdullah. Munsyi Abdullah telah telah membawa pembaca bertemu dengan tokoh-tokoh sejarah seperti Farquhar, Lord Minto dan Crawford. Hikayat ini telah menceritakan peribadi mereka mengikut pandangan Munsyi Abdullah yang berdampingan dengan mereka. Tokoh-tokoh ini digambarkan sebagai baik dan disanjungi oleh Munsyi Abdullah.

Penceritaan hikayat ini jelas menunjukkan Munsyi Abdullah seorang yang gigih menuntut ilmu. Munsyi Abdullah berketurunan peranakan Arab-India yang berjaya menguasai bahasa Melayu , bahasa Tamil, Hindustan, Inggeris dan Cina. Penguasaan beberapa bahasa ini menunjukkan kegigihan Munsyi Abdullah mempelajari bahasa.Munsyi Abdullah juga mengkritik sikap masyarakat Melayu yang malas mempelajari bahasa Melayu. Perkara ini membuktikan betapa Munsyi Abdullah melakukan pelbagai kritikan sosial dalam hikayatnya. Terdapat beberapa falsafah yang terkandung dalam Hikayat Abdullah. 

Falsafah ketuhanan adalah mengenai kebencian karut dan tahyul masyarakat Melayu yang membelakangkan kuasa Allah S.w.t. Abdullah berfikiran rasional dan realistik dan tidak mempercayai bomoh, dukun dan pawang. Beliau juga mengkritik kepercayaan orang Melayu yang tidak mempercayai ilmu falak dan tidak mempercayai bahawa bumi ini bulat. Beliau juga mengkritik orang Melayu yang mempercayai peristiwa gerhana bulan disebabkan bulan dimakan oleh Rauf (ular). Musnsyi Abdullah menyeru masyarakat supaya memandang sesuatu itu secara rasional dan berpegang kepada kuasa Allah. Perkara ini membuktikan,daalm karya ini Munsyi Abdullah amat menekankan aspek ketuhanan dalam karyanya.  

Falsafah kedua ialah falsafah keadilan. Falsafah keadilan yang dikemukakan adalah berkaitan dengan kes Syed Yasin, keskezaliman Sultan, keadilan Farquha yang sedia membantu golongan bawahan yang kesusahan. Beliau menyeru dan menuntut kesamarataan dalam gagasannya yang terkandung dalam karya.  

Falsafah ketiga yang dikemukakan ialah falsafah kebenaran. Munsyi Abdullah menyatakan perkara kebenaran dalam hikayatnya. Apa yangdiceritakan merupakan perkara yang betul-betul berlaku dan diamalkan sehingga ke hari ini seperti kepercayaan tahyul oleh masyarakat Melayu. 

Falsafah keempat ialah falsafah keindahan. Keindahan yang dimaksudkan dari segi bahasa, adat dan pemikiran yang diutarakan dalam hikayat. Hikayat Abdullah membawa perubahan tema, plot, dan jalan cerita seperti karya-karya yang ditulis dalam zamannya. Beliau telah menjadikan pengalaman beliausebagai bahan penulisan. Perkara ini menjadikan karya beliau bersifat realiti dan tidakdiselitkan dengan cerita-cerita dongeng seperti karya-karya lain yang ditulis dalam zamannya. Beliau menyelitkan pantun, syair dan kiasan untuk menyampai kan sesuatu pemikirannya. Selain itu, terdapat banyak kosa kata baharu dan penggunaan teknik dialog dalam karya ini. Boleh dikatakan bahawa hikayat ini sebagai permulaan karya Melayu moden yang boleh diibaratkan seangkatan ASAS 50 yang lahir seratus tahun selepas kelahiran hikayat ini. Jelas menunjukkan pemikiran Munsyi Abdullah tidak dibatasi oleh masa.  

Falsafah seterusnya ialah falsafah etika yang terkandung dalam hikayat ini. Undang-undang Singapura dikatakan sebagai hasil kebijaksanaan Raffles. Falsafah etika ini dikaitkan dengan penceritaan kisah Tuan Bangoor yang begitu mementingkan nilai kebersihan. Adat menggunakan keris juga dikatakan sebagai falsafah.  

Falsafah pemikiran juga ditonjolkan dalam Hikayat Hang Tuah. Pemikiran Munsyi Abdullah yang jauh ke depan dan bersifat revolusioner. Beliau juga dianggap sebagai tokoh yang menerajui perkembangan sastera moden di tanah Melayu pada ketika itu. Selain itu, perlu juga ditelusuri betapa Munsyi Abdullah ini begitu teruja dan terpegun dengan orang asing yang menjajah Tanah Melayu pada ketika itu.

3. ULASAN HIKAYAT HANG TUAH

Ungkapan "takkan Melayu hilang di dunia" cukup tersohor kerana dikatakan pernah diungkapkan oleh Laksamana Hang Tuah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka suatu zaman dahulu. Hikayat Hang Tuah sememangnya sebuah hikayat yang agung kerana dalam karya ini banyak memaparkan kisah-kisah keberanian dan kebijaksanaan orang Melayu.

4. ULASAN PANTUN MELAYU

Pantun Dagang
Pantun ini berkenaan dengan penceritaan seseorang atau kisah hidup seorang pedagangyang merantau ke tempat lain. Pantun jenis ini kebiasaannya menceritakan adat berdagang, nasihat ketika berdagang serta memberi ingatan kepada pedagang.

Contoh :  

Kelam kabus di pinggir tasik;
Orang menjala ikan haruan;
Suara halus bagai berbisik;
Pulang segera dari rantauan.

Gulai patin dibawa pulang;
Hidang bersama sambal kelapa;
Tuan bermukim tempat tualang;
Lembah yang lama sudah dilupa.

Jauh berlejang orang memburu;
Bukit Berapit belukar redang;
Anak dagang hendaklah tahu;
Adat tertib di rantau orang.

Genting Sempah tempat bernama;
Ketika senja sejuk di bukit;
Kalaulah sudah bermukim lama;
Tentu dah lupa hala nak bali.

Rasuk di lantai di bumbung alang;
Barulah boleh dibina rangka;
Kalaulah sampai jadi tualang;
Jangan terlebih tutur dan kata.

Orang Pendang pergi ke Gurun;
Cari sanglang benih petola;
Bila petang matahari dah turun;
Camar terbang pulang ke kuala.

Maksud Pantun

Enam buah pantun di atas merupakan sebahagian daripada contoh pantun dagang yang terdapat dalam buku pantun yang dikaji. Pantun yang pertama membawa maksud ada suara halus atau suara hati yang menyeru pedagang supaya lekas pulang dari berdagang di rantauan. Perkara ini terjadi mungkin disebabkan si pedagang sudah terlalu lama berjauhan dengan desa dan orang yang tersayang. Pantun kedua pula bermaksud pedagang diingatkan supaya tidak pernah melupai tempat asalnya jika sudah merantau sekian lama. Pantun ketiga pula pedagang dinasihatkan supaya menjaga dan mengikuti adat tertib ketika berada di tempat orang. Perkara ini bagi menjamin keselamatan dan keharmonian pedagan ketika berada di perantauan. Pantun keempat bermaksud kegusaran pencipta pantun berikuti tempoh yang lama diambil oleh pedagang mampu membuatkannya lupa akan kampung halaman. Pantun ini boleh juga dianggap sebagai sindiran kepada pedagang supaya sentiasa mengingati tempat asalnya. Pantun kelima membawa saranan atau nasihat kepada pedagang supaya menjaga adab sopan dan tutur kata ketika berada di tempat orang. Pantun keenam pula membawa maksud, apabila sesuatu itu sudah sampai masanya, maka para pedagang akanpulang ke tempat asalnya.

Ciri-ciri yang terdapat dalam pantun

1. Pembayang dengan maksud
Keenam-enam pantun ini mempunyai pembayang dan maksud. Ciri pantun yang baik ialah pembayangnya menggunakan unsur-unsur alam dan pantun-pantun ini menepati ciri pantun yang baik.

Contoh : 

Kelam kabus di pinggir tasik;
Orang Pendang pergi ke Gurun;
Orang menjala ikan haruan;
Cari sanglang benih petola.

2. Eufoni 
Eufoni merupakan kombinasi bunyi yang indah dan sedap didengar. Oleh itu, kata-kata yang dipilih mestilah kata-kata yang lembut, bersajak, berirama dan mengalun.

Contoh :
Tasik-berbisik, haruan-rantauan, pulang-tualang, gurun-turun, petola-kuala, alang-tualang, bernama-lama.

3. Kolokasi
Kolokasi membawa maksud pertautan makna atau perkara. Kolokasi dilihat pada bahagian pembayang pantun. Ciri pantun yang baik ialah mempunyai kolokasi.

Contoh: 

Kelam kabus di pinggir tasik;
Orang menjala ikan haruan;
Jauh berlejang orang memburu;
Bukit Berapit belukar redang.

Orang Pendang pergi ke Gurun;
Cari sanglang benih petola;
Gulai patin dibawa pulang;
Hidang bersama sambal kelapa.

4. Nilai rasa 
           Sesebuah pantun yang baik mesti mempunyai nilai rasa dari segi makna, irama, moral,alunan kata dan lain-lain perkara. Selain mempunyai nilai rasa yang baik dari segi bahasa, pantun juga mesti mempunyai nilai rasa dari segi mendidik dan memberi nasihat.

Contoh :

Jauh berlejang orang memburu;
Bukit Berapit belukar redang;
Anak dagang hendaklah tahu;
Adat tertib di rantau orang.

Pantun merupakan pantun yang mempunyai ciri yang indah dan mempunyai nilai rasayang baik. Pantun di atas ini merupakan pantun yang baik kerana setiap baris mempunyai empat perkataan. Keduanya, alunan kata-katanya mempunyai irama dan bunyi naik turun yang indah susunannya. Selain itu, hujung setiap baris berentak dan bersajak dengan indah, iaitu memburu digandingkan dengan tahu dan redang digadingkan dengan orang. Bilangan suku katanya pula di antara 8-10 suku kata. Pantun ini juga mempunyai nilai rasa yang baik apabila mempunyai unsur nasihat.

Kenapa dianggap karya agung

Pantun ini dianggap sebagai karya agung kerana mampu memberi kesan kepada penggunanya. Misalnya, dalam pantun dagang ini, telah diselitkan unsur-unsur nasihat dan pesanan kepada para pedagang supaya bijak membawa diri di tempat orang dan sebagainya. Selain itu, pantun juga mengutarakan pemikiran masyarakat terhadap sesuatu perkara. Dalam pantun berdagang, pemikiran manusia terhadap peristiwa atau perkara yang berkaitan dengan aktiviti berdagang itu diungkapkan melalui pantun. Oleh itu, pantun berdagang ini diangkat sebagai karya agung kerana dapat menjadikan diri kita lebih baik daripada sebelumnya melalui unsur-unsur nasihat dan pengajaran yang terkandung di dalamnya.

Kelemahan Pantun

Pantun dagang ini boleh dianggap sempurna dari segi binaannya, namun terdapat sedikit kekurangan. Kekurangan yang dapat dikesan ialah, dari segi penggunaan bukan unsur alam di dalam pembayang pantun. Pantun yang cantik susunan dan binaannya merupakan pantun yang menggunakan unsur-unsur alam dalam pembayangnya dan saling berkolokasi antara satu sama lain. Selain itu, ciri pantun yang terbaik adalah rimanya sama bukan pada bahagian hujungnya sahaja, malah rima ditengahnya juga perlu sama.

Contoh :

Rasuk di lantai di bumbung alang;
Barulah boleh dibina rangka;
Kalaulah sampai jadi tualang;
Jangan terlebih tutur dan kata.

Pantun Budi
Budi mempunyai beberapa erti, iaitu akal, kebijaksanaan, sifat baik, perbuatan baik, kebajikan, bicara dan daya upaya. Budi juga digabungkan dengan perkataan lain yang membawa makna tertentu seperti budi pekerti yang bermakna perangai, akhlak, tingkahlaku, kelakuan, dan watak; budi bahasa yang beerti tingkah laku. Dalam pantun-pantun Melayu, terdapat untaian pantun yang mengandungi kata budi bagi menggambarkan perkara-perkara seperti yang dimaksudkan dalam makna kata budi itu sendiri. Oleh itu, pemilihan kata sangat ditekankan bagi menggambarkan penegrtian yang tepat yang didukung oleh kata-kata yang dipilih.

Contoh :
a)    Pondok buruk di dusun;
Daik Tempat singgahan mengait kandis;
Rupanya elok perangainya baik;
Jadi idaman setiap gadis.

b)    Puaslah hamba mecari bendi;
Tuan yang mahu umbut kelapa;
Puaslah hamba menabur budi;
Purnama berlalu tuan dah lupa.

c)     Sungguh semak di pinggir hutan;
Petani kampung menebas huma;
Sungguh banyak budimu tuan;
Tidak tertanggung selama – lama.

d)    Tepi permatang mengalir alur;
Di hujung sana sungai yang dalam;
Selamat datang tangan dihulur;
Kita bersama salam bersalam.

e)    Terbang dua burung kenari;
Anak kedidi di rumpun padi;
Seringgit dua boleh dicari;
Hutang budi dibalas budi.

f)      Jauhnya jarak Pekan Penanti;
Petang larut ke hujung desa;
Indahnya akhlak kerana hati;
Indahnya hidup berbudi bahasa

Maksud pantun

Pantun budi yang pertama membawa maksud jejaka yang mempunyai perangai yang baik menjadi idaman para gadis. Pantun kedua pula bermaksud seseorang yang terkilan keranabudinya tidak dikenang oleh orang lain. Pantun ketiga pula bererti budi yang sudah ditaburkan tidak terbalas. Pantun yang keempat pula bermaksud “salam” dapat menggambarkan sikap berbudi bahasa. Pantun kelima bermaksud budi tidak boleh dibalas dengan wang. Budi hanya boleh dibalas dengan budi. Pantun yang terakhir bermaksud hidup seseorang itu lebih indah dengan adanya sikap budi bahasa.

Ciri – Ciri Yang Terdapat Dalam Pantun 

1. Pembayang dengan maksud
Keenam – enam pantun ini mempunyai pembayang dan maksud. Ciri pantun yang baik ialah pembayangnya menggunakan unsur – unsur alam dan pantun – pantun ini menepati ciri pantun yang baik.
Contoh : Pembayang
  • Puaslah hamba mencari bendi;Tuan yang mahu umbut kelapa;
  • Tepi permatang mengalir alur;Di hujung sana sungai yang dalam.
 Contoh : Maksud
  • Terbang dua burung kenari; 
  • Anak kedidi di rumpun padi; 
  • Seringgit dua boleh dicari;  
  • Hutang budi dibalas budi. 
2. Eufoni 
Eufoni merupakan kombinasi bunyi yang indah dan sedap didengar. Oleh itu, kata-kata yang dipilih mestilah kata-kata yang lembut, bersajak, berirama dan mengalun.

Contoh ;
Hutan-tuan, huma-lama, alur-dihulur, dalam-bersalam, kenari-dicari, padi-budi, penanti-hati, desa- bahasa.

3. Kolokasi 
Kolokasi membawa maksud pertautan makna atau perkara. Kolokasi dilihat pada bahagian pembayang pantun. Ciri pantun yang baik ialah mempunyai kolokasi.

Contoh :

Tepi permatang mengalir alur;
Di hujung sana sungai yang dalam;
Puaslah hamba mecari bendi;
Tuan yang mahu umbut kelapa.

4. Nilai rasa 
Sesebuah pantun yang baik mesti mempunyai nilai rasa dari segi makna, irama, moral, alunan kata dan lain-lain perkara. Selain mempunyai nilai rasa yang baik dari segi bahasa, pantun juga mesti mempunyai nilai rasa dari segi mendidik dan memberi nasihat.

Contoh :

Terbang dua burung kenari;
Anak kedidi di rumpun padi;
Seringgit dua boleh dicari;
Hutang budi dibalas budi.

Jauhnya jarak Pekan Penanti;
Petang larut ke hujung desa;
Indahnya akhlak kerana hati;  
Indahnya hidup berbudi bahasa.

Kedua-dua pantun merupakan pantun yang mempunyai ciri yang indah dan mempunyai nilai rasa yang baik. Pantun di atas ini merupakan pantun yang baik kerana setiap baris mempunyai empat perkataan. Keduanya, alunan kata-katanya mempunyai irama dan bunyi naik turun yang indah susunannya. Selain itu, hujung setiap baris berentak dan bersajak dengan indah, iaitu kenari digandingkan dengan dicari dan padi digadingkan dengan budi, penanti-hati, dan desa-bahasa. Bilangan suku katanya pula di antara 8-10 suku kata. Pantun ini juga mempunyai nilai rasa yang baik apabila mempunyai unsur nasihat..

Kenapa diangkat sebagai Karya Agung

Falsafah budi diungkap dalam pantun secara halus memberi nasihat, teguran dan panduan kepada masyarakat. Budi ialah orientasi nilai yang mengukuhkan setiap bangsa. Tanpa orientasi nilai, atau bebas-nilai, keseluruhan batas-batas kehidupan akan runtuh. Melalui hidup berbudi, manusia dapat mengenal pasti keyakinan diri berasaskan pengukuran rasa kalbu dan hati. Sekiranya manusia tidak berbudi, maka runtuhlah jati diri bangsa itu. Budi bahasa yang baik yang baik mencerminkan betapa tingginya martabat dan darjat seseorang. Masyarakat akan memandang tinggi terhadap seseorang yang berbudi. Oleh itu,masyarakat akan turut sama berbudi. Pengaruh falsafah dalam pantun menyebabkan pantun dapat menanam nilai-nilai yang baik dalam diri seseorang pembaca. Secara falsafahnya, pantun juga kaya dengan variasi yang penuh berisi, beragam gaya pengucapan, mantap dari makna dan nilai serta meluas daya gunanya. Justeru, inilah sebabnya mengapa ia diangkat sebagai karya agung.

Rujukan:

No comments:

Post a Comment