RETORIK DAN GAYA BAHASA MELAYU KLASIK


Definisi Retorik

Perkataan retorik dikenali sebagai Rethor dalam bahasa Greek yang bermaksud “pemidato” manakala dalam bahasa Yunani, ia menjadi rhetorike yang bermaksud seni berpidato. Retorik ini dieja rhetorique dalam bahasa Perancis dan Rhetoric dalam bahasa Inggeris. Retorik dalam bahasa Melayu Klasik boleh dilihat dalam peribahasa, pantun, syair, gurindam dan banyak lagi genre sastera melayu yang lain.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1326), retorik didefinisikan sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam penulisan atau pertuturan. Menurut Abu Hassan, retorik merupakan satu seni gaya penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu individu yang berada di persekitarannya. Plato pula dalam bukunya, Pheadrus menyatakan retorik merupakan wacana yang rasional dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle menyifatkan retorik sebagai seni pemujukan dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan.

Orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin disampaikan. Mohd Affandi Hassan menyatakan penggunaan retorik seperti cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik sebagai usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok Selampit dan Awang Batil. Orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk menyampaikan maksud. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik. Hal ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea maka timbullah ungkapan retorik kosong. Retorik dapat diketahui melalui dua aspek penting iaitu pengetahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik.

Jenis-Jenis Retorik 
Retorik terdiri daripada enam jenis, iaitu;
  • Pemerian - penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea.  Ianya bertujuan menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar
  •  Penceritaan - merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan.  
  •  Penerangan - penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain. 
  •  Pendedahan - mendedah  sesuatu/menyingkap /memapar /menunjukkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Selain itu, retorik jenis ini untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada khalayak dengan berkesan
  • Penghujahan - retorik ini juga dikenali sebagai pemujukan rasional atau intelek.  Retorik jenis ini digunakan dalam sesuatu perbahasan, perdebatan, pembicaraan, forum dan penulisan yang bersifat akademik.
  • Pemujukan - gunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan. 
Penggunaan Retorik dalam Hikayat Abdullah & Hikayat Tuhfat Al-Nafis

1. Retorik Penceritaan
  • Tuan Raffles datang ke Melaka. Setelah berbincang dan bersetuju, dimintanya Kolonel Farquhar belayar ke Singapura untuk melaksanakan kerja tersebut. Ketika itu Tuan Raffles telah diarahkan pergi ke Aceh oleh Tuan Jenderal untuk mendamaikan pertelingkahan di antara Aceh Pidir dengan Teluk Semawi yang hendak berperang. (Hikayat Abdullah;ms 155)
2. Retorik Pemerian
  • Tuan Furquhar sudah lama bersahabat dengan Tengku Long, putera Sultan Mahmud. Semasa dia di Melaka, khabar yang kudengar mengatakan Tengku Long sudah mengambil wang daripada Kolonel Farquhar. (Hikayat Abdullah; ms 154)
  • Kawasan itu semak belaka. Hanya di padang itulah tiada berhutan besar, tetapi dipenuhi pokok-pokok ambung-ambung, malapari, bulangan dan tulang-tulang kayu. Di seberang sungai kelihatan pokok-pokok bakau, api-api, buta-buta, jeruju dan tulang-tulangnya sahaja. Ada sebuah bukit yang tinggi di hujung tanjung Kuala Singapura.  (Hikayat Abdullah; ms161)
  • Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama) tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak)”.(Tuhfat al Nafis;ms279)
3. Retorik Pendedahan
  • “Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Maka masa kerajaan baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu, iaitu yang berama Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya. Dan banyaklah anak-anak orang Melaka berahi akan dia hingga anak isteri orang tiadalah berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur. (Tuhfat al Nafis ; ms 134)
  • Akan tetapi, semenjak aku telah mendapat pelajaran dan akal sedikit-sedikit serta membaca kitab-kitab, tambahan pula telah bercampur-campur dengan orang berakal, orang putih, maka bahawasanya kuketahuilah sekalian itu bohong, lagipun penipu besar, adanya. (Hikayat Abdullah; ms 114)
4. Retorik Penerangan
  • Maka kulihat sifat orangnya pendek dan mukanya bundar dan rambutnya putih dan tubuhnya sederhana. (Hikayat Abdullah; ms 79)
5. Retorik Pemujukan
  • Maka berkatalah Pengeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.” Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu.” (Tuhfat al Nafis; ms232)

Definisi Gaya Bahasa

Pada umumnya, bahasa merupakan satu alat perhubungan dan komunikasi antara manusia. Bahasa lazimnya diertikan sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia sebagai alat untuk berhubung, manakala gaya bahasa pula bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu. Bahasa antaranya berfungsi untuk :
  • meluahkan perasaan
  • menyampaikan ilmu dan mengakumulasikannya
  • mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana (cara/bahan/strategi)
  •  mewariskan ilmu, budaya, peradaban dan agama
Dalam menyampaikan bahasa untuk melahirkan buah fikiran, lazimnya kita akan menggunakan gaya pengucapan atau gaya tulisan yang berbeza, yakni disebut gaya bahasa. Konsep gaya dari segi retorik lama mentakrifkan suatu cara berfikir yang tidak boleh diabaikan begitu sahaja. Ringkasnya, bahasa ialah pengzahiran buah fikiran, manakala gaya ialah potongan atau stilistik atau fesyen tertentu kepada bahasa tersebut. Bahasa melayu amat kaya dengan gaya. Maksud gaya bahasa yang diberikan oleh Za’ba (1962:71) ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataanya, ikatan ayatnya, jalan bahasanya, cara susunan atau bentuk pembahasaan. Za’ba membahagikan gaya bahasa melayu kepada dua, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Kedua-dua gaya ini boleh disebut sebagai gaya melayu betul dan gaya bukan melayu.

Contoh Gaya Bahasa dalam Hikayat Abdullah

1. Skema Pengguguran
 Asidenton: pengguguran kata hubung.
  •  makan tak kenyang, tidur tak lena (ms 13)
2. Skema Perulangan
Anafora: pengulangan perkataan yang sama pada permulaan klausa.
  • Dia ketakutan melihat ramai orang berhampiran perahunya, lalu terjun ke laut ketika ombak besar. Dia hilang dibawa arus ke laut. (ms 160-161)
3. Skema Ragaman
*Khusus –Umum
  • Maka dalam hal itu bapaku pun mendapat sakit payah di Sungai Baru, lalu pergilah segala adik kakak dari Melaka mengambil akan dia… (ms8)
*Umum-Khusus
  • …Tuan Sekretaries Gobermen ke Melaka menyuruhkan bapaku pergi ke Riau dan Lingga, Pahang, Terengganu…. (ms 9)
4. Majaz
Maksud :  memindahkan perkataan hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan petunjuk.  

*Majaz Pertautan bermaksud hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan/tamsilan.
  • Disfemisme - kata-kata kasar untuk tujuan tertentu.
Contoh: Syahadan, maka dengan bodoh yang demikianlah kebanyakan surat-surat dan hikayat-hikayat dahulu kala yang dalam kebanyakan negeri Melaka disuruh gurunya bakarkan… (ms 309).
*Majaz Perbandingan bermaksud penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan 2 hal pada hal berlainan ataupun sengaja dianggap sama.
  • Simile – perbandingan secara langsung.  
Contoh
    - Seperti meniup api dalam air (ms15) 
      - Seperti menatang minyak yang penuh (ms15)  
        - Seperti bergantung di rambut sehelai, mati hidup kembali, nyawa pergi nyawa datang…(ms 13)
          • Hiperbola
          Contoh:  Sebab itulah saya membuangkan diri ke pulau di tengah laut ini, tuan. (ms 156)
          • Personafikasi
          Contoh: Tuan Farquhar pergi berteduh di bawah sepohon kayu kelat di tengah padang itu.(ms 156)

          Bahasa Melayu Klasik

          Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat yang tidak lagi terpakai. Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Bahasa Melayu klasik pula menurut Ismail Hussein (1966), “ pembahagian bahasa Melayu Klasik dibuat adalah atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu”. Menurut Ismail Hussein (1966), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14 dan beliau menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu setelah kedatangan agama Islam. Kenyataan ini disokong dengan bukti catatan Marco Polo tentang pengislaman Pasai pada tahun 1292M sewaktu beliau melawat Sumatera Utara. Permulaan bahasa Melayu klasik boleh ditandai dengan kemunculan dan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu klasik menjadi medium dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam.

          1 comment:

          1. Menarik. Terima kasih kerana kongsi ilmu seperti ini.

            ReplyDelete