KONSEP KARYA AGUNG MELAYU

Pengenalan

Tamadun sesuatu bangsa adalah warisan daya cipta bangsa itu yang dapat dikesani dan dihayati melalui karya-karya terdahulu yang ternukil oleh bijak pandai yang terdiri daripada karyawan, seniman, pemikir, ahli falsafah  dan ilmuawan bangsa itu (Hassan Ahmad, 2005). Karya-karya ini dianggap sebagai karya agung. Oleh itu, karya agung dalam konteks dunia Melayu boleh ditakrifkan sebagai karya yang nilainya tahan zaman, yakni yang kekal sepanjang zaman sebagai khazanah budaya dan ilmu Melayu. Nilai yang dimaksudkan adalah nilai seninya, nilai budayanya, nilai ilmu dan pemikiran yang terkandung di dalamnya, nilai pada teknik kepengarangannya yang luar biasa, dan nilai bahasanya yang tinggi dan indah – semuanya lahir dalam kesepaduan bentuk, bahasa dan gaya penceritaan yang luar biasa. Maksud ‘luar biasa’ ini dapat kita lihat dan rasakan apabila kita mengkaji cara atau kaedah berfikir dan bercerita yang digunakan, sama ada secara sedar, spontan, atau secara ‘terancang’, bagi menyampaikan sesuatu ilmu, konsep, pandangan hidup, mesej dan lain-lain (Hassan Ahmad, 2005).
Salah satu bukti atau bahan yang boleh dijadikan rujukan terhadap sesuatu bangsa ialah karyanya. Hal ini demikian kerana sebuah karya adalah cerminan bangsa yang menjadi latar dalam karya tersebut pada waktu karya itu dihasilkan. Sebuah karya adalah seperti rakaman yang mencatatkan perihal masyarakat dan perlakuannya. Karya yang ketika itu dihasilkan mungkin hanya bertujuan sebagai hiburan atau sebagai hobi untuk mengisi masa lapang, tidak mustahil akan menjadi rujukan pada masa hadapan. Hal ini demikian kerana apabila sesebuah masyarakat itu tidak lagi wujud, hanya karya yang menjadi tinggalan sebagai bukti kewujudan mereka serta aktiviti-aktiviti  yang dilakukan oleh mereka. Lazimnya, sesebuah karya akan merakam kehidupan sesebuah masyarakat walaupun tidak secara khusus tetapi cukup untuk mengidentitikan masyarakat tersebut. Karya-karya hebat akan bertahan dalam jangka masa yang lama sehingga boleh diteliti oleh generasi yang akan datang selepasnya. Karya hebat seperti ini disebut sebagai karya agung.
Karya agung ialah karya klasik yang telah meninggalkan kesan budaya, pemikiran, pandangan dan falsafah hidup yang berkekalan dalam ingatan bersama sesuatu bangsa. Karya itu dapat dianggap sebagai pembentuk dan cermin budaya dan tamadun bangsa yang melahirkan karya itu. Ia melambangkan keunggulan daya cipta bangsa itu untuk membentuk tradisi dan identitinya yang tersendiri. Kita mengenal tamadun Greek, China, India, Mesir dan bangsa-bangsa yang lain melalui karya seni, pemikiran, falsafah, sastera dan dicetuskan oleh pemikir, seniman dan sasterawan zaman dahulu kala mereka yang mampu meninggalkan pengaruh yang besar dan kekal sepanjang zaman, dipelajari, dijadikan petua, dikekalkan atau dicerna oleh keturunan berikutnya sehinggalah hasilnya menjadi tradisi dan warisan bangsa hingga ke zaman ini.
Konsep Karya Agung Melayu

Berdasarkan konsep karya agung yang dibincangkan terdahulu, maka ‘Karya Agung Melayu’ ialah karya yang melambangkan keunggulan daya cipta seniman, penulis dan pemikir bangsa Melayu dalam menggambarkan idealisme, nilai, pandangan hidup, adat, budi, kesedaran moral dan visi bangsa dan masyarakatnya melalui bentuk sastera dan seni yang tinggi nilainya sehingga kesan seni,budaya dan falsafah kekal sepanjang zaman dalm minda kolektif bangsa Melayu. Tamadun Melayu sepanjang zaman banyak sekali dibentuk dan diwataki oleh tradisi sastera ini.
Karya agung Melayu bererti karya agung yang ditulis atau diungkapkan atau dilisankan (pepatah, pantun, lipur lara, dan lain-lain) dalam bahasa Melayu, tanpa mengambil kira kelompok mana bangsa atau etnik dalam kawasan Dunia Melayu ini, sama ada orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu, atau orang Melayu Brunei, Aceh, Bugis, Minangkabau, dan selainnya yang menghasiilkan karya itu. Dengan perkataan lain, sempadan geografi dan etnik tidak timbul. Yang penting karya berkenaan mampu mencetuskan unsur-unsur pemikiran, sistem nilai dan kepercayaan, falsafah atau pandangan hidup bangsa Melayu turun- temurun dalam bentuk dan gaya yang hebat.
Antara karya-karya agung agung Melayu yang terkenal ialah Sulalatus Salatin atau juga dikenali sebagai Sejarah Melayu. Karya agung ini telah dihasilkan oleh seorang tokoh yang berilmu pada zamannya, iaitu Tun Sri Lanang. Ia merupakan naskah tertua yang pernah ditemui dan dikarang di Johor pada tahun 1612 atas titah raja. Episod-episod yang dipaparkan dalam karya ini memberi maklumat penting tentang keturunan raja-raja Melayu serta adat istiadatnya, dan peristiwa-peristiwa bersejarah yang melibatkan kerajaan Melayu dan tanah jajahannya. Selain itu, Hikayat Hang Tuah yang dikarang sekitar  tahun 1641 hingga 1736 yang merupakan satu-satunya epik Melayu yang mewakili bangsa itu sendiri tentang cita-citanya, kebolehannya , dan sikap hidupnya pada suatu zaman. Pengarang mengakhiri karyanya dengan meninggalkan semangat yang kekal dalam minda Melayu hingga hari ini, iaitu ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’. Karya-karya agung yang lain adalah seperti Tuhfat al-Nafis, Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Raja Aceh, Pantun Melayu : Bingkisan Permata, Syair Ken Tambuhan, Undang-undang Melaka, Hikayat Abdullah, Cerita Lipur Lara, Bustan al-Katibin, Cerita Jenaka Melayu, Hikayat Panji Jayeng Kusuma, dan Hikayat Inderaputera.

Karya Agung Dunia Melayu


Karya agung dunia Melayu dimaksudkan kepada karya agung di kawasan Dunia Melayu yang terdapat dalam bahasa-bahasa serumpun atau bahasa-bahasa Malayo-Polinesia yang lain. Terdapat banyak karya dalam bahasa-bahasa lain yang diiktiraf dalam bangsa berkenaan sebagai karya agung. Antaranya ialah Nagarakertagama atau Serat Chentini yang ditulis dalam bahasa Jawa, atau I la Galigo yang ditulis dalam bahasa Bugis. Karya-karya yang seperti ini jika sesuai dengan takrif Yayasan Karyawan, boleh diterima sebagai Karya Agung Dunia Melayu dan bolehlah dimasukkan ke dalam rancangan Yayasan untuk dikaji, diperkenalkan dan diterbitkan dalam bahasa Melayu melalui terjemahan.

Rujukan :
3. Buku: Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

No comments:

Post a Comment