NILAI ILMU DAN MAKLUMAT

Konsep Nilai


Menurut Kamus Dewan Edisi Keeempat (2010:1081), perkataan nilai merujuk kepada darjat, kualiti, mutu dan taraf. Dalam bidang sains sosial, nilai (value) boleh didefinisikan dalam tiga konteks utama, iaitu sebagai sifat (attribute) bagi menyatakan kepentingan atau manfaat sesuatu objek, menyatakan kadar harga atau markah sesuatu objek berbentuk kualiti dan sebagai ukuran atau piawai kepada sesuatu kelakuan manusia. Nilai juga diistilahkan sebagai 'al-qimah' dalam bahasa Arab yang lebih merujuk kepada harga yang ditetapkan atau diletakkan pada sesuatu. Nilai juga bersifat aksiologi dan mempunyai hubung kait dengan falsafah nilai. Nilai membolehkan manusia membezakan antara yang baik atau yang buruk dan betul atau salah. Oleh itu, nilai bukan sahaja merupakan satu standard bagi sesuatu barang, tetapi juga menjadi dasar atau asas dalam menerima atau menolak sesuatu perlakuan manusia.

Kehidupan masyarakat Melayu sememangnya tidak boleh terlepas daripada peraturan dan aturan yang perlu dipatuhi berdasarkan kesepakatan masyarakat. Pemupukan nilai dalam masyarakat Melayu membolehkan seseorang itu diterima sebagai sebahagian daripada masyarakat. Masyarakat Melayu cukup mementingkan aspek nilai dalam kehidupan untuk menjamin kesejahteraan masyarakat dan nilai yang disampaikan bersifat beradab, muafakat dan penuh dengan kesusilaan yang murni. Nilai dalam masyarakat Melayu dapat dipupuk melalui dua pembahagian cara, iaitu formal (melalui pendidikan formal di institusi pendidikan) dan tidak formal (melalui persekitaran seperti keluarga, rakan dan masyarakat). 

Nilai dan etika masyarakat Melayu dikatakan sangat mempunyai perkaitan rapat dengan perkara yang dianggap sebagai mempunyai nilai yang tinggi dari segi kebenaran, kebaikan dan keindahan. Nilai-nilai tersebut cukup sinonim dengan agama Islam yang sangat berpengaruh dalam masyarakat Melayu seluruh Nusantara.  



Konsep Ilmu dan Maklumat


Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ilmu bermaksud pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain. Ilmu merupakan hal yang berkaitan kerana pemerolehan ilmu itu dan usaha kita menyebarkannya kepada orang lain dalam bentuk pelbagai maklumat. Maklumat yang disebarkan mengandung pelbagai fungsi. Antara fungsi sesuatu ilmu itu disebarkan ialah untuk menambahkan ilmu pengetahuan, mengembangkan lagi perkara yang mengandung pelbagai kemusykilan dan lain-lain (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125).


Jenis-jenis Ilmu dalam Karya Agung


Terdapat beberapa jenis ilmu yang dapat dilihat dalam karya agung Melayu, iaitu:

            1. Ilmu Firasat

Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa firasat adalah pengetahuan mengenai tanda-tanda pada muka (badan dan lain-lain) untuk mengetahui kelakuan atau nasib orang. Tilikan atau ramalan ahli nujum itu berkaitan dengan ilmu firasat.menurut Sulastin Sutrisno, orang yang mempunyai ilmu itu dapat merasa, melihat atau mengetahui terlebih dahulu segala sesuatu yang akan berlaku. Melalui ilmu firasat juga seseorang itu dapat mengetahui kelemahan atau kekuatan orang lain, antaranya berdasarkan nama, haru atau ketika. Hal ini penting terutama dalam kalangan pahlwan-pahlawan kerana dengan itu dia boleh membantu mereka menewaskan musuh (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 125-128).

 Sejarah Melayu memaparkan dengan jelas perkara teersebut dalam episod serangan Melaka ke atas Pahang. Bendahara Paduka Raja memerintahkan pahlawan-pahlawannya mengejar Maharaja Dewa Sura yang melarikan diri. Dalam usaha itu, Seri Bija Diraja tidak tergesa-gesa seperti orang lain kerana dia tahu musuhnya itu tidak akan terlepas dari tangannya. Ini dapat dilihat daripada kata-kata beliau kepada anak buahnya.



“Di mana kamu semua orang muda-muda tahu? Kerana Maharaja Dewa Sura ini sudah aku kira-kirakan namanya di bawah namaku,dan harinya di bawah hariku dan ketikanya di bawah ketikaku, di mana ia akan lepaskan daripada tanganku?”


(Sejarah Melayu: 74)

Berdasarkan contoh petikan di atas, ramalan Seri Bija Diraja itu memang tepat. Beliaulah yang telah berjaya menangkap Maharaja Dewa Sura.

Dalam Hikayat Hang Tuah pula disebutkan tentang pengamalan ilmu firasat. Amalan ilmu firasat ini dapat dilihat sewaktu Raja Melaka hendak berangkat ke Majapahit untuk berkahwin dengan puteri negeri tersebut. Masa yang dipilih oleh Raja Melaka dipersetujui oleh Hang Tuah kerana menurutnya ketika tersebut (hari Ahad malam Isnin) adalah waktu yang geroda dikalahkan oleh seekor ular. Kiasan membawa erti, orang atau pihak yang kuat dan besar dapat ditewaskan oleh orang atau pihak yang lebih kecil. Ramalan Hang Tuah itu ternyata tepat apabila beliau dan rombongan tersebut beroleh kejayaan di Majapahit. Beliau dan rakan-rakannya dapat mengetahui segala tipu helah serta percubaan membunuhnya oleh peembesar dan perajurit negeri itu.

Kepercayaan kepada ilmu firasat mungkin boleh dikaitkan dengan konsep ‘memilih ketika’ dalam kalangan masyarakat Melayu. Umpamanya dalam seminggu, terdapat hari-hari tertentu yang baik dan buruk serta sial. Begitu juga dengan bulan-bulan tertentu dalam masa setahun. Oleh yang demikian, mereka yang memilih ketika yang baik untuk memulakan sesuatu pekerjaan atau rancangan seperti mendirikan rumah, mengerjakanm sawah dan memulakan perjalanan untuk merantau. Bagi mereka, ‘memilih ketika’ itu penting untuk mengelakkan daripada bencana atau sebarang keburukan.

Di Acheh, waktu Pencagah atau Iskandar Muda Mahkota Alam dalam kandungan, ibunya bermimpi bersanggulkan bulan yang dihiasi buang air kecil yang terlalu banyak sehingga menjadi laut. Dalam mentafsir mimpi itu, Fakih Khoja Manassiah berpendapat:

“Tuanku, adapun takbir mimpi sultan itu Insya-Allah taala (tak dapat) tiadalah daripada zuriat sulan menjadi raja yang maha kuasa lagi terlalu besar gahnya lagi mengempukkan segala raja-raja daripada segala pihak Timur dan daripada segala pihak Barat. Dan paduka anakanda itulah melimpahkan takhta adilnya dan ialah matahari yang betak (tetap) di bumi musyrik ini.”
(De Hikajat Atjeh: 115)

Manakala di negeri Pahang pula terdapat ramalan yang dibuat oleh Habib Abdullah dari Makkah. Beliau yang memberi nama kepada Tun Ahmad, berpendapat bahawa anak Bendahara Ali yang baru dilahirkan itu akan menjadi seorang yang baik, bertuah serta besar daulatnya. Sebagaimana ramalan-ramalan lain, ramalan Fakih Khoja Manassiah dan Habib Abdullah juga menjadi kenyataan.

“Sampai sepuluh bulan genap, masuk bulan sebelas bersalinlah. Ketika itu berbetulan Habib Abdullah ibni Omar al-Attas, yang keramat besar, ialah yang menyambut dan bang, teruslah dinamakan (nya) Tun Ahmad. Maka ia pun berdatang menyembah pada raja iaitu, “Ya Maulana, anak maulana ini banyak baik, yakni besar suhudnya bertuah lebih daulatnya kelak.” Maka ia pun baliklah. Tiada berapa lama (nya) keluar dari Pahang balik ke Arab.”
(Hikayat Pahang: 5)

Dalam historiografi Melayu tradisional lain, unsur mimpi turut memainkan peranan penting. Di dalam Fasal 13, Bab II Bustan al-Salatin ini pun, unsur mimpi dikemukakan walaupun dalam dua episod sahaja. Nuruddin menceritakan bahawa Sultan Iskandar Muda telah bermimpi tentang air persiraman puterinya dan Iskandar Thani. Sultan Iskandar Muda telah bermimpi pada malam Isnin, 12 Jamadilakhir, iaitu turun sebuah mahligai daripada cahaya dengan perhiasannya berisi air mandi dibawa oleh malaikat dari langit. Malaikatlah yang memandikan kedua-dua pasangan muda itu. Esoknya Sultan Iskandar Muda menitahkan bahawa mereka tidak perlu lagi dimandikan oleh Syeikh Syamsuddin dan Kadi Malik al-Adil. Petikannya:

“ Maka pada pagi –pagi hari sabda Raja Iskandar Muda kepada nenda Raja Serba Bawa, “Katakan kepada bondaku Syah Alam, janganlah bersusah lagi memandikan anakku kedua! Sudahlah mandi keduanya daripada air yang turun dari kudrat Allah Taa’la!”
(Bustan Al-Salatin: 18)

Mimpi yang kedua ialah yang muncul dalam tidur seorang pembuat batu nisan. Setelah Sultan Iskandar Thani mangkat, baginda digelar Marhum Dar al-Salam. Permaisurinya yang menjadi sultan memerintahkan juru batu nisan mencipta satu batu nisan yang terbaik untuk suaminya. Masa itulah Marhum Mahkota Alam muncul di dalam mimpi juru batu supaya melebihkan perbuatan batu itu pada makam Marhum Dar al-Salam. Petikannya adalah seperti berikut:

“Syahadan adalah yang mengadap Raja Nisyan itu orang berpedang suasa. Maka pada suatu malam ia bermimpi Paduka Marhum Mahkota Alam bersabda kepadanya dengan kahar, Hai segala pandai, kamu lebihkanlah perbuatan batu itu daripadaku.”
(Bustan Al-Salatin: 45)

Kedua-dua mimpi ini mempengaruhi tindakan-tindakan secara sedar orang-orang yang terlibat dalam episod-episod berkenaan. Nyata dalam Fasal 13 ini, unsur mimpi tidak dianggap sebagai membawa makna sesuatu atau perlu dibuat interpretasi tetapi merupakan komunikasi langsung daripada satu pihak di dunia tidak nyata kepada pihak di dunia nyata.

Ilmu firasat juga dilakukan terhadap binatang. Hal ini disebutkan dalam hikayat Melayu, iaitu Hikayat Raja Pasai. Berikutan itu, anjing diberikan penghormatan oleh Raja-raja Melayu zaman terdahulu. Anjing memainkan peranan penting sehingga tertubuhnya sesebuah negeri. Dalam Hikayat Raja Pasai, penemuan negeri Pasai juga dikaitkan dengan anjing perburuan Merah Silu (sesudah memeluk Islam, bergelar Sultan Malikul Saleh). Anjing perburuan itu telah menyalak disebuah tanah tinggi tanpa henti. Sultan Malikul Saleh kemudian berasakan bahawa tempat itu sesuai dibuat negeri lalu dinamakan tempat itu Pasai, sempena nama anjing perburuan tadi. Contoh petikan:

“Maka tersebutlah perkataan Merah Silau di Rimba Jerana itu. Sekali persetua pada suatu hari Merah Silau pergi berburu. Maka ada seekor anjing dibawanya akan perburuan Merah Silau itu bernama Si Pasai. Maka dilepaskannya anjing itu, lalu ia menyalak di atas tanah tinggi itu. Maka dilihatnya ada seekor semut besarnya seperti kucing. Maka itu pun disuruh Merah Silau tebasi pada segala orang yang sertanya itu. Maka setelah itu diperbuatnya akan istananya.”
(Hikayat Inderaputera: 13)

           2. Ilmu Pendukunan

Menurut Kamus Dewan (2010), menyatakan bahawa dukun membawa maksud orang yang mengubat orang sakit atau memberi ubat cara kampung atau tradisional (dengan membaca jampi serapah dan sebagainya), bomoh dan pawang. Manakala perdukunan pula membawa maksud yang mengenai atau berkaitan dengan pengubatan cara kampung atau tradisional, yang berkaitan dengan ilmu dukun.
Kepercayaan masyarakat Melayu pada peringkat permulaan adalah berbentuk animisme. Dalam kepercayaan itu, menganggap benda-benda mempunyai semangat dan kuasa ghaib. Sehubungan dengan itu, wujudlah permujaan atau penyembahan kepada batu-batu, pokok-pokok, sungai-sungai, gunung-gunung dan fenomena lain. Kuasa ghaib itu tidak boleh dihubungi oleh orang sembarangan, jadi dukun,pawang, atau bomoh diperlukan. Usaha ini dianggap berfungsi mengembalikan keadaan seperti asalnya.
Dukun atau bomoh juga dapat menghubungi semua kuasa ghaib yang ada pada binatang terutama yang liar dan bisa. Mereka tahu akan kelemahan binatang-binatang tersebut dengan jampi. Kadang-kadang seseorang bomoh itu pakar dalam satu bidang sahaja seperti bomoh ular, gajah dan sebagainya. Di Melaka, terdapat orang yang begitu arif tentang gajah, bergelar Penghulu Gajah. Antaranya adalah Seri Wak Raja. Contoh petikan berkaitan dengan ini:

“Sekalian orang pun melihat tahunya Seri Wak Raja; gajah penakut jadi beraninya.”
(Sulalatus Salatin: 209)

Terdapat juga golongan istana yang menggunakan dukun atau ahli nujum terutama sebelum kedatangan Islam atau tahap-tahap awal kemasukannya. Peranan ahli nujum agak berbeza dengan bomoh. Dia lebih kepada membuat ramalan. Dalam Hikayat Merong Mahawangsa, keturunan raja Kedah yang memerintah Siam meminta ahli nujumnya mencari pengganti raja Kedah setelah Raja Bersiung hilang dalam perdu buluh betung. Ahli nujum itu melepaskan gajah sakti untuk mencari raja yang baru (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 129).

3. Ilmu Jampi
Jampi menurut Kamus Dewan (2010), membawa makna kata-kata tertentu yang diucapkan untuk mendatangkan kesaktian. Jampi juga dikenali sebagai mantera. Mana Sikana (1996) pula berpendapat bahawa jampi serapah tidak hanya sekadar penglahiran perasaan seperti puisi. Ia ada hubungannya dengan kejiwaan dan sistem kepercayaan. Jampi dikatakan sebagai sesuatu yang dibaca untuk memberi kesaktian terutama pada perubatan. Pawang sebagai pembaca jampi adalah manusia yang luar biasa dan disifatkan sebagai manusia perantaraan makhluk dengan Khaliq atau supernatural.
Kedudukan pawang dalam hierarki kemasyarakatan adalah jelas. Jampi mantera yang diucapkan telah mendapat tempat yang istimewa. Jampi mempunyai unsur-unsur pemujaan, perubatan, kasih sayang, pendinding dan berhubung dengan psikologi manusia. Biasanya pawang, dukun, bomoh atau orang yang memakainya tidak begitu mudah memberikan jampi serapahnya kepada orang lain. Mereka bimbang jampi serapah yang diketahui itu tidak mujarab lagi, melainkan orang yang sudah menuntut dan orang lain tidak boleh menggunakannya. Jika digunakan juga dia akan menerima padahnya.
Satu hal yang menarik ialah jampi biasanya disampaikan dalam bahasa Banjar. Penjelasan tersebut jelas menunjukkan bahawa kepercayaan yang masih sebati terhadap kuasa ghaib seperti yang terdapat dalam jampi. Jampi-jampi dikatakan boleh diwarisi oleh orang tertentu. Menurut Mana Sikana (1996), jampi mempunyai tiga jenis, iaitu jampi menolak syaitan, jampi tawar biasa dan seterusnya ialah jampi pendinding. Jampi yang pertama dan ketiga ialah jampi jenis larangan, manakala jampi yang kedua ialah jampi jenis perubatan.
Jampi menolak syaitan digunakan untuk menghalau sekalian jenis jin. Jampi ini juga digunakan untuk mengubat penyakit yang berkaitan dengan makhluk halus tersebut. Jampi menolak syaitan ini boleh sahaja digunakan pada bila-bila masa yang dirasakan perlu. Contohnya, jampi ini boleh digunakan ketika seseorang berjalan di tempat yang sunyi atau apabila berasa takut dan boleh juga digunakan apabila dirasakan diri diganggu oleh sesuatu. Cara menjampinya adalah seseorang itu perlu memandang tegak ke hadapan. Selepas sekali dibaca, hendaklah ditiup ke kiri dan ke kanan sebanyak tiga kali. Jampi ini perlu dibaca sebanyak tiga kali berturut-turut. Contoh yang terdapat dalam karya agung ialah:

“Permulaan kata aku menyatakan
Hakikat jin seribu empat puluh dua lagi
Aku tahu akan asal usul dirimu
Asal diri jadi di huruf Alif
...dengan berkat La ilaha illallah.”
(Kitab Tib: 1292)

Jampi tawar bisa pula boleh digunakan untuk kesakitan serius seperti digigit ular berbisa dan boleh membawa maut atau kebakaran yang boleh mencacatkan. Jampi ini boleh digunakan dengan dua cara, iaitu yang pertama ialah dengan cara menjampi terus pada tempat yang sakit. Selepas pembacaan, hendaklah ditiup pada tempat yang sakit tersebut dan sebaik-baiknya pesakit harislah duduk di tempat yang arahnya menerima angin kerana dipercayai bahawa angib tersebut mampu menolong mencabut bisa yang ditanggungnya. Cara yang kedua pula ialah dengan cara pembacaan ke dalam air. Selepas dijampi, air tersebut perlulah diminum, dimandi atau disapukan kekepala. Air tersebut tidak boleh dilangkah terutama sekali oleh kucing. Air itu perlu disimpan di tempat yang tinggi dan tidak boleh diletakkan di dalam peti sejuk. Sebaik-baiknya, air itu ialah air hujan yang ditadah dan turun betul-betul dari langit serta tidak tersangkut di mana-mana lagi sebelumnya.
Jampi pendinding adalah jampi jenis yang cukup dominan dalam masyarakat Melayu. Jampi jenis ini boleh dikatakan dipelajari dan dipakai oleh kebanyakan orang baik halus ataupun terang. Jampi tersebut boleh ditulis di atas kertas lalu dipakai sebagai azimat. Namun, azimat tersebut tidak boleh dibawa ke tempat kotor dan tidak boleh berniat jahat. Jampi ini berfungsi sebagai pendinding diri kerana niat jahat, hasad, fitnah dan sebagainya tidak akan sampai kepada pengamalnya, malah dalam beberapa keadaan perbuatan jahat itu tadi akan kembali kepada si pelaku itu semula.
Perkara-perkara yang berkaitan dengan jampi juga ada sedikit sebanyak disebut dalam karya-karya agung seperti Hikayat Abdullah, Hikayat Raja Pasai, Hikayat Seri Kelantan dan lain-lain lagi. Contohnya ialah:

“Pawang ini pandai sungguh, sebab membaca-bacakannya, gajah itu pun takut akan dia.”
(Hikayat Abdullah: 55)

Ayat tersebut membuktikan bahawa pengarang Hikayat Abdullah ada menceritakan tentang jampi dan jampi itu bermaksud pawang yang diceritakan itiu sungguh pandai kerana mampu menjinakkan gajah dengan hanya menjampinya sahaja. Contoh yang kedua ialah jampi Tuan Puteri Sa’dong menyebabkan Kota Jelasin dan rakyat ghaib lalu jatuh ke dalam Cerang Bahana yang kemudian diberi nama Mahligai. 

“ Maka jogi itu pun pengsan sebab daripada keramat sultan itu.”
(Hikayat Raja Pasai: 35)

Berdasarkan ayat di atas, jelaslah bahawa jampi juga ada diceritakan dalam Hikayat Raja Pasai. Hal ini kerana ayat tersebut menunjukkan bahawa jogi itu pengsan disebabkan sultan tersebut mempunyai tongkat sakti atau tongkat yang telah dijampi. Contoh seterusnya ialah:

“Hai sahabat, jangan mu duduk menggoda dan menyiksa pada mulut manusia kerana mulut manusia itu tempat puji Allah dan puji Muhammad.”
(Kitab Tib, 1078: 65)

Jampi di atas ialah contoh jampi sahabat. Jampi ini merupakan jampi yang jenis nasihat ke arah kebaikan. Jampi ini boleh digunakan kerana ia tidak bertentangan dengan syariat tidak boleh memesongkan akidah (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 129-132).

             4. Ilmu Pengasih

Pengasih membawa makna ilmu pengasih, jampi, azimat, doa, guna-guna dan lain-lain untuk mendatangkan atau membangkitkan rasa kasih (Kamus Dewan, 2010). Ilmu pengasih ini adalah untuk mendapat pemujaan oleh seseorang yang jatuh hati kepada orang lain. Lazimnya, ilmu pengasih digunakan oleh seseorang kerana mungkin orang yang disukai itu tidak menyukainya atau orang ittu terlalu jual mahal. Ilmu pengasih boleh digunakan dengan banyak cara, namun cara yang popular adalah dengan cara mencalitkan sesuatu minyak kepada seseorang yang berkenaan atau dengan cara menjampi gambar dan sebagainya. Contoh ayat jampi pengasih ialah:

“Kun sarik panjik-panjik
Bagurung bagirang
Taulas takani ngidan
Kasih sayang (anu) memandang akuk
Cinta sayang (anu) melihat akuk
Dengan berkat
Lailaha il-Lallah
Muhammad ar-Rasulullah.”
(Mana Sikana: 67)

“Hang Nadim menggunakan ubat guna-guna untuk memikat Tun Teja. Ubat guna-guna tersebut dalam bentuk lulut (bedak) itu ternyata berkesan. Setelah ia disapu kepada badan Tun Teja oleh si pelulut beliau dengan serta-merta menyukai Sultan Mahmud dan sanggup menjadi isteri baginda.”
(Sejarah Melayu: 170)

Ilmu pengasih ini boleh dilakukan dengan dua cara, iaitu dengan menyapu bedak yang telah dijampi dengan ayat tersebut ke muka atau dengan cara mandi dengan air yang telah dijampi. Sekiranya seseorang itu menggunakan jampi ini, dia tidak boleh lalu di bawah ampaian dan tidak boleh  mengerjakan maksiat seperti mencuri. Jika dilakukan juga, jampi tersebut tidak akan mujarab. Pengamal jampi ini juga tidak boleh melangkah tulang babi dan sebaik-baiknya dia hendaklah terus kepada matlamatnya. Selain untuk perkasihan, jampi ini juga boleh digunakan untuk bertemu dengan orang yang tertentu untuk tujuan baik. Misalnya ketika hendak berwawancara atau temuduga pekerjaan, meminta pertolongan atau sebagainya (Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al, 2013: 132-133).

Rujukan:
1. Buku Seri Lanang Jaya Hj. Rohani et.al (2013)

No comments:

Post a Comment