TOKOH-TOKOH PENGARANG KARYA AGUNG


1.  Abdullah Munsyi


Abdullah Munsyi telah diiktiraf sebagai Pelopor Kesusasteraan Melayu Moden. Gelaran itu diberikan kerana beliau yang memulakan penulisan corak baru yang menyimpang daripada tradisi sebelumnya. Ciri-ciri penulisan beliau ialah:
  • Tidak lagi berkisar tentang keadaan di istana;
  • Tidak juga mengandungi mitos dan legenda;
  • Tidak terbina atas khayalan melulu; dan
  • Telah berhenti mengagung-agungkan golongan istana dan bangsawan.
         Abdullah meninggalkan ungkapan-ungkapan tradisional seperti “talibun” yang sering diulang-ulang untuk melukiskan sesuatu. Beliau juga menggunakan ganti nama diri “aku” atau “ku” yang menjelaskan sifat keakuan dan sifat bertanggungjawab terhadap karya yang dihasilkan. Genre-genre baru yang diterokai beliau ialah autobiografi dan memoir. Walau bagaimanapun, masih terdapat ciri-ciri sastera Melayu tradisional dalam karya seperti Hikayat Abdullah dan Hikayat Pelayaran Abdullah ke Kelantan. Di samping itu, lenggang-lenggok bahasa yang digunakan oleh beliau masih terikut-ikut dengan bahasa yang terdapat dalam Sejarah Melayu. 

2. Sheikh Hamzah Fansuri



Syeikh Hamzah Fansuri adalah seorang cendekiawan, ulama tasawuf, dan budayawan terkemuka yang diperkirakan hidup antara pertengahan abad ke-16 sampai awal abad ke-17. Sayang sekali bukti-bukti tertulis yang dinyatakan tarikh sebenarnya Syeikh Hamzah Fansuri lahir dan wafat, dimana dilahirkan dan dimana pula jasadnya dibaringkan dan ditanam, tak dijumpai sampai sekarang. Namun begitu, Hamzah Fansuri dipercayai dilahirkan pada akhir abad ke-16 di Barus atau Panchor, Sumatera Barat. Pada tahun 1726, Francois Valentijn dalam bukunya Oud en Nieuw Oost-Indie (Hindia Timur Lama dan Baharu) pada bab mengenai Sumatera, menyebut Hamzah Fansuri sebagai seorang penyair yang dilahirkan di Fansur. 

    Hamzah Fansuri telah mengembara ke pelbagai tempat untuk menambah pengetahuannya seperti ke Mekah, Madinah, Baghdad, Pahang (Tanah Melayu), dan Kudus (Pulau Jawa). Beliau  menguasai bahasa Arab dan Parsi di samping Bahasa Melayu yang memang menjadi bahasa ibundanya. Bahasa Melayu yang digunakannya itu sudah memperlihatkan bentuk seperti yang digunakan sekarang. Nama gelar atau takhallus yang tercantum di belakang nama kecilnya memperlihatkan bahwa pendekar puisi dan ilmu sulukini berasal dari Fansur, sebutan orang-orang Arab terhadap Barus, sekarang sebuah kota kecil di pantai barat Sumatera yang terletak antara kota Sibolga dan Singkel. Sampai abad  ke-16 kota ini merupakan pelabuhan dagang penting yang dikunjungi para saudagar dan musafir dari negeri-negeri jauh. Daripada syair dan  namanya sendiri sudah sekian lama berdominasi di Fansur, berdekatan Singkel, sehingga mereka dan turunan mereka pantas digelari Fansur. Konon saudara Hamzah Fansuri bernama Ali Fansuri, ayah dari Abdur Rauf Singkel Fansuri. Mengikut sarjana bahasa yang memahami syair mengatakan bahwa Hamzah Fansuri lahir di tanah Syahrmawi, tapi tidak ada sebarang penjelasan mengenai dimana tanah Syahrmawi itu berada. Ada yang mengatakan di tanah Aceh sendiri ada yang menunjuk tanah Siam, dan  bahkan ada sarjana yang menunjuk negeri Persia sebagai tanah yang di Aceh oleh nama Syamawi.

      Kiranya namanya di Nusantara di kalangan ulama dan sarjana penyelidik keislaman tak asing lagi. Hampir semua penulis sejarah Islam mencatat bahwa Syeikh Hamzah Fansuri dan muridnya Syeikh Syamsuddin Sumatrani adalah dengan al-Hallaj, faham hulul, ittihad, mahabbah dan lain-lain adalah seirama. Syeikh Hamzah Fansuri diakui seorang pujangga Islam yang sangat popular di zamannya, sehingga kini namanya menghiasi lembaran-lembaran sejarah kesusasteraan Melayu dan Indonesia. Namanya tercatat sebagai tokoh kaliber besar dalam  perkembangan Islam di nusantara dari abadnya hingga ke abad  kini. Dalam buku-buku sejarah mengenai Aceh namanya selalu diuraikan dengan panjang. 

      Hamzah Fansuri menghasilkan karya tulis yang banyak, akan tetapi karya-karya tulisnya itu bersama karya-karya tulis Syamsuddin Sumatrani, dibinasakan (dibakar) berdasarkan perintah Sultan Iskandar Sani atau anjuran Huruddin al-Riniri, mufti dan penasihat agama di Istana Sultan tersebut. Di antara syair-syair Syeikh Hamzah Fansuri terkumpul dalam buku-buku yang terkenal, dalam kesusasteraan Melayu/ Indonesia tercatat buku-buku syairnya antaranya, Syair Burung Pingai, Syair Dagang, Syair Pungguk, Syair Sidang Faqir, Syair Ikan Tongkol, Syair Perahu. 

      Karya-karya Syeikh Hamzah Fansuri baik yang berbentuk syair mahupun berbentuk prosa banyak menarik perhatian para sarjana baik sarjana barat atau orientalis barat mahupun sarjana tempatan.  Puisi-puisi penyair sufi biasanya tidak lengkap tanpa disertai tanda-tanda kesufian seperti, faqir, asyiq dan lain sebagainya. Tanda serupa ini kita jumpai di dalam sajak-sajak Hamzah Fansuri. Antara tanda kesufian yang banyak ditemukan dalam syair-syair Hamzah Fansuri ialah anak dagang, anak jamu, anak datu, anak ratu, orang uryani, ungkas quddusi, dan kadang-kadang digunakan dengan nama pribadinya seperti Hamzah Miskin, Hamzah Gharib dan lain-lain.

      Syeikh Hamzah Fansuri bukan hanya seorang ulama tasawuf dan sasterawan terkemuka, tetapi juga seorang perintis dan pelopor bagi perkembangan kebudayaan Islam dan sumbangannya sangat besar. Di bidang keilmuan Syeikh telah mempelajari penulisan risalah tasawuf atau keagamaan yang demikian sistematis dan bersifat ilmiah. Sebelum karya-karya Syeikh muncul, masyarakat muslim Melayu mempelajari masalah-masalah agama, tasawuf dan sastera melalui kitab-kitab yang ditulis di dalam bahasa Arab atau Persia. Di bidang sasetra Syeikh mempelopori pula penulisan puisi-puisi filosofi dan mistis bercorak Islam, kedalaman kandungan puisi-puisinya sukar ditandingi oleh penyair lain yang sezaman ataupun sesudahnya. Penulis-penulis Melayu abad ke-17 dan 18 kebanyakan berada di bawah bayang-bayang kegeniusan dan kepiawaian Syeikh Hamzah Fansuri.


3. Raja Ali Haji





Raja Ali Haji bin Raja Haji Ahmad atau Tengku Haji Ali al-Haj bin Tengku Haji Ahmad bin Raja Haji Asy-Syahidu fi Sabillah bin Upu Daeng Celak ataupun  lebih dikenali sebagai Raja Ali Haji, ialah ulama, ahli sejarah, serta pujangga Melayu-Bugis. Beliau dilahirkan di Pulau Penyengat Indera Sakti, yang ketika itu dibawah pemerintahan Johor-Riau-Lingga dan Pahang. Beliau merupakan keturunan kedua(cucu) kepada Raja Haji Fisabilillah, Yang Dipertuan IV dari Kesultanan Riau-Lingga.



      Pada tahun 1822, sewaktu Raja Ali Haji masih kecil, beliau pernah dibawa oleh orang tuanya ke Betawi (Jakarta). Ketika itu bapanya, Raja Haji Ahmad, menjadi utusan Riau untuk berjumpa Gabenor Jeneral Baron van der Capellen. Berulang-ulang kali Raja Haji Ahmad  menjadi utusan kerajaan Riau  ke Jawa dan  waktu yang berguna itu telah dimanfaatkan oleh puteranya, Raja Ali untuk menemui banyak ulama bagi  memperdalam ilmu pengetahuan Islamnya, terutama ilmu fiqh. Antara ulama Betawi yang sering dikunjunginya oleh beliau ialah Saiyid Abdur Rahman al-Mashri. Raja Ali Haji sempat belajar ilmu falak dengan beliau. Selain dapat mendalami ilmu keislaman, Raja Ali Haji juga banyak mendapat pengalaman dan pengetahuan hasil pergaulan dengan sarjana-sarjana kebudayaan Belanda seperti T. Roode dan Van  Der Waal yang kemudian menjadi sahabatnya. Kira-kira tahun 1827/1243H, Raja Ali Haji mengikut bapanya, Raja Ahmad pergi ke Makkah al-Musyarrafah. Raja Ahmad dan Raja Ali Haji adalah di antara anak Raja Riau yang pertama menunaikan ibadah haji ketika itu. 



      Raja Ali Haji tinggal dan belajar di Mekah dalam jangka masa yang agak lama. Semasa di Mekah, Raja Ali Haji sempat bergaul dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani. Beliau sempat belajar beberapa bidang keislaman dan ilmu bahasa Arab dengan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani yang ketika itu menjadi Ketua Syeikh Haji dan sangat berpengaruh di kalangan masyarakat Melayu di Mekah. Beliau bersahabat dengan salah seorang anak Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari iaitu Syeikh Syihabuddin bin Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari. Barangkali ketika itulah, Raja Ali Haji sempat mempelawa ulama yang berasal dari Banjar itu supaya datang ke Riau, dan  jika ulama tersebut bersetuju untuk datang, ulama itu akan dijadikan Mufti di kerajaan Riau. Dalam perjalanannya ke Mekah itu, Raja Haji Ahmad dan puteranya, Raja Ali Haji pula mengambil kesempatan berkunjung ke Kaherah (Mesir).



      Pada zaman dahulu, kerajaan Riau-Johor memiliki ramai ulama antaranya Habib Syaikh keturuan as-Saqaf, Syeikh Ahmad Jabarti, Syeikh Ismail bin Abdullah al-Minkabawi, Syeikh Abdul Ghafur bin Abbas al-Manduri dan ramai lagi. Tambahan lagi, saudara sepupu Raja Ali Haji yang bernama Raja Ali bin Raja Ja’far menjadi Yamtuan Muda Kerajaan Riau VIII (tahun 1845-1857) menggantikan saudaranya Raja Abdur Rahman bin Raja Haji Yamtuan  Muda Kerajaan Riau VII (taun 1833-1845). Apabila Raja Ali Haji pulang dari Mekah beliau disuruh oleh saudara sepupunya itu untuk mengajar agama Islam sehinggakan Raja Ali bin Raja Ja’far juga turut belajar dengan Raja Ali Haji.



      Kemudian, Raja Ali Haji mula menceburkan diri dalam bidang pendidikan. Beliau dikatakan telah mengajar Ilmu Nahu, Ilmu Sharaf, Ilmu Usuluddin, Ilmu Fiqh, Ilmu Tasawuf dan lain-lain. Raja Ali Haji mempunyai kepakaran yang tinggi dalam ilmu pengetahuan Islam, bahkan beliau memang seorang ulama besar pada zamannya. Ramai anak murid Raja Ali Haji yang telah menjadi tokoh terkemuka, antaranya Raja Haji Abdullah yang kemudian menjadi Yamtuan Muda Riau IX (1857-1858). Dalam ilmu syariat, Raja Ali Haji berpegang teguh dengan Mazhab Syafie, dalam  iktikad beliau  berpegang kepada fahaman Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Abu Manshur al-Maturidi, manakala amalan dalam ilmu tasawuf beliau adalah seorang penganut Tarekat Naqsyabandiyah dan mengamalkan Selawat Dalail al-Khairat yang dibangsakan kepada Saiyid Sulaiman al-Jazuli, yang diamalkan secara beruntun sejak datuk-datuknya terutama Raja Haji as-Syahidu fi Sabilillah yang ketika mangkat masih tetap memegang kitab selawat tersebut di tangannya, sementara pedang terhunus di tangannya yang satu lagi. Raja Ali Haji meninggal dunia di Riau pada sekitar tahun 1873. Beliau ditetapkan oleh pemerintah Republik Indonesia sebagai pahlawan negara pada tahun 2006.   

     
      Beliau telah menghasilkan banyak karya berteraskan Islam seperti Gurindam Dua Belas, Syair Abdul Muluk, Syair Suluh Pegawai dan Syair Sinar Gemala Mustika Alam. Misalnya, Gurindam Dua Belas banyak dibicarakan dalam  pelajaran sastera. Gurindam Dua Belas terdiri dari dua belas fasal dan kandungannya  banyak menyangkut perkara ibadat individu, kewajipan-kewajipan  para raja dan sifat-sifat masyarakat, kewajipan orang tua kepada anak dan kewajipan anak kepada orang tua, dan lain-lain. Dalam bidang bahasa, beliaulah orang pertama yang menulis tentang tatabahasa bahasa Melayu dalam Bustanul Katibin dan cuba menyusun sebuah kamus Melayu melalui Kitab Pengetahuan Bahasa. Bustanul Katibin ditulis tahun 1267H/1850M, diterbitkan dengan huruf batu (litografi) di Pulau Penyengat, Riau. Bustanul Katibin terdiri dari 31 pasal, tebalnya hanya 70 halaman. Kitab Pengetahuan Bahasa pula ditulis tahun 1275 H/1858M, menggunakan nama pengarang pada halaman depan cetakan Al-‘Alim Al-Fadhil Al-Marhum Raja Ali Haji ibni Al-Marhum Raja Haji Ahmad  ibni Al-Marhum Yang Di Pertuan Muda Raja Haji Asy-Syahid fi Sabilillah Ta’ala, terbitan pertama, penggal yang pertama Matba’ah Al-Ahmadiah, 82, Jalan Sultan, Singapura, 10 Rejab 1348 H/11 Disember 1929. Raja Ali Haji muncul sebagai tokoh bahasa, kesusasteraan, sejarah, politik dan juga tokoh agama yang ulung pada zamannya (Mohd. Sharifudin Yusop dan Mohd. Lani Sobi, 1999).

Sumbangan beliau terhadap persuratan Melayu amat penting. Daya kreativitinya dan kepekaannya terhadap permasalahan yang berlaku di sekelilingnya menjadikan beliau begitu masyhur. Dalam bidang agama, beliau menjadi guru kepada Yamtuan Muda Riau selain mengajarkan agama Islam kepada pembesar dan rakyat jelata. Dalam bidang sejarah, beliau berusaha membuat catatan sejarah yang lengkap tentang keturunan Raja-Raja Melayu dan Bugis dalam bentuk penulisan kreatif yang terakam dalam Tuhfatul Nafis dan Salasilah Melayu Bugis dan Sekalian Raja-rajanya. Untuk pertama kalinya juga beliau menggarap penulisannya secara lebih realistik sekaligus mengurangkan unsur-unsur mitos, dongeng dan khayalan dalam penghasilan karya. 


      Ternyata Raja Ali Haji seorang tokoh yang tiada tolok banding jika diteliti karya-karyanya yang meliputi pelbagai bidang itu. Menurut Wan Samsuddin Mohd. Yusoff (1976), mengenai bukunya Tuhfatul Nafis, C. Hooykaas dan Winstedt bersependapat menyatakan bahawa sesudah sejarah Melayu, Tuhfatul Nafis dipandang sebagai sumber terpenting dalam pensejarahan Melayu. Walaupun terdapat pembaharuan-pembaharuan dalam hasil karangan beliau, Raja Ali Haji tetap dianggap pengarang klasik. Beliau bergaul dengan sarjana-sarjana dan pembesar-pembesar Barat, tetapi pengaruh mereka tidaklah besar. Dalam hal ini, Raja Ali Haji berbeza dengan Abdullah bin Abdul Kadir Munsyi, yang menurut R.Roolvink dalam Mohamad Daud Mohamad (1987) telah berada di perbatasan  kebudayaan Timur dan Barat. Abdullah sudah keluar daripada lingkungan masyarakatnya sendiri walaupun tidak secara keseluruhan. Raja Ali Haji dapat menghargai nilai-nilai peradaban Barat, namun demikian beliau  menganggap nilai-nilai Barat tidak sesuai dengan masyarakat Melayu. Pujangga ulung ini tetap berdiri teguh dalam lingkungan kebudayaan Melayu dan dengan keras mempertahankan nilai-nilainya.

4. Tun Seri Lanang


Tun Seri Lanang adalah penulis dan pengarang Sejarah Melayu. Meskipun pandangan yang berbeza dari segi kedudukannya sebagai pengumpul, penyusun, penyunting dan pengarang, tetapi Tun Seri Lanang tetap dipersetujui sebagai orang yang bertanggujawab dalam merealisasikan kehendak Sulatan Abdullah Maayah Syah ibni Sultan Ala Jalla Abdul Jalil Syah, dalam suatu majlis di hadapan pembesar negeri yang menyatakan kewujudan sebuah Hikayat Melayu di Goa, Sulawesi. Baginda memerintahkan didapatkan kitab tersebut, diperbaiki dan dibaca untuk panduan generasi muda akan datang.

      Nama sebenar beliau ialah Tun Muhammad, bergelar Paduka Raja yang memegang jawatan bendahara kepada Sultan Ali Jalla Abdul Jalil Shah II dan Sultan Alauddin Shah III antara tahun 1580 dan 1615. Beliau dilahirkan di Bukit Seluyut, Johor pada tahun 1565. Beliau sebenarnya tidak terkenal dalam bidang mengarang tetapi lebih terserlah sebagai pemimpin pada zamannya. Akan tetapi, beliau meminati dunia kepengarangan  menyebabkan beliau menyempurnakan titah raja yang mengkehendakkan beliau menulis mengenai salasilah keturunan diraja pada 1612M, iaitu semasa Raja Abdullah bersemayam di Pasir Raja atau dikenali sebagai Pekan Tua. Beliau telah mendapatkan kitab (Hikayat Melayu) dan menyusun, menambah dan memperbaiki mana-mana yang perlu. Beliau mula mengaranag pada bulan Februari 1614 sewaktu di Johor dan kemudian disambung di Acheh. Hal ini bermakna Sejarah Melayu telah ditulis 103 tahun setelah Melaka ditawan Portugis. Tambahan pula semasa menulis Sejarah Melayu, Tun Seri Lanang berada di Acheh setelah ibu kota Kesultan Johor Lama ditawan oleh Acheh. Setelah beliau selesai mengarang, beliau sedar bahawa teks tersebut berkaitan dengan keturunan diraja dan diberi nama Sulalatus Salatin yang beerti "Salasilah Segala Raja-Raja"kemudian diterjemahkan oleh golongan moden menjadi Sejarah Melayu.

      Sejarah Melayu yang dikarang oleh beliau menampakkan kebijaksanaan beliau dalam mencatatkan pengalaman dan pemerhatian beliau pada zamannya dengan mencatat dan menulis tarikh peristiwa-peristiwa yang beliau khabarkan dalam karya tersebut. Hal inilah yang menyebabkan karya beliau menjadi rujukan zaman berzaman dalam kajian ketamadunan Melayu. Sejarah Melayu tidak hanya memaparkan kisah-kisah raja bahkan melibatkan cerita pembukaan negeri, aktiviti-aktiviti raja, undang-undang bernegeri dan berkerajaan. Dalam karya beliau inilah kita dapat melihat gambaran kehidupan dan budaya masyarakat Melayu feudal. Meskipun karya beliau bercampur dengan unsur mitos dan legenda namun, sejarah Melayu yang dinyatakan beliau lebih kuat. Bahan-bahan penceritaannya menggambarkan budaya orang Melayu terutamanya mengenai watak pemerintah dan bangsa Melayu sendiri.

      Pada 1659M, Tun Seri Lanang telah meninggal dunia di Samalanga, Aceh dan zuriatnya berterusan menjadi pemeritah otonomi di sana manakala sebahagian zuriatnya kembali ke Johor lalu ditakdirkan menjadi Raja-raja Melayu khususnya di Pahang, Terengganu dan Johor Moden sehingga ke hari ini. Makam Tun Seri Lanang telah dipugar dan dijaga oleh pihak berkuasa di Samalanga dan sentiasa dikunjungi oleh peminat dan pengkaji sejarah, khususnya dari Malaysia dan Indonesia.

Rujukan : 
1. Penghayatan Karya Agung Melayu (Seri Lanang Jaya Hj Rohani, Abd RahmanNapiah, Hj Mohd Rashid bin Md Aris, 2013 : 34-36)

1 comment: