ESTETIK DALAM KARYA AGUNG

Estetik atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera yang terpenting. Malah, perkataan sastera itu sendiri yang berasal daripada perkataan Sanskrit, merujuk kepada karya yang indah. Manusia suka kepada sastera kerana sifatnya yang indah, estetik dan artistik itu. Setiap seni mempunyai sifat keindahannya yang tersendiri.

Dalam seni sastera, keindahan berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Estetik juga merujuk kepada aspek kekuatan karya. Dapatlah dinyatakan bahawa estetik ialah rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk  kepada yang bernilai dan bermanfaat serta penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan ialah daya tarikan dan kepuasan dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya. Setiap komposisi karya memiliki keindahannya tersendiri. Dan khalayak akan membina pula sikap estetiknya bagi menerima teks-teks tersebut. Keindahan yang lebih agung lagi ialah yang membawa manusia mencapai kebaikan, mengagung Allah Azza Wajalla.

Keindahan pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman; pengalaman itu luar biasa, belum pernah dialaminya, menarik, dan memberinya kepuasan. Membaca adalah proses penambahan pengalaman. Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan. Seandainya pengalaman yang diberikan pengarang itu istimewa, maka pembaca akan merasai kenikmatan dan keseronokannya. Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya, tinggi seninya dan halus adunannya. Apabila kita membaca, perasaan kita akan turut digoncangnya.

Hasil daripada pembacaan itu, kita mendapat pemikiran yang tinggi atau ada falsafah tentang hidup. Kita dipintarkan olehnya, bukan digurui atau dimarahinya. Sebuah karya sastera yang berestetika juga mengajar kita menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Rasa keindahan juga berkait rapat dengan kemampuan sesebuah teks itu bagi menimbulkan perasaan kita, seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu dan sebagainya. Dan karya itu pula dapat menimbulkan rasa geram, dengki, cemburu dan sebagainya. Pengarangnya dengan bijaksananya berketrampilan dan mempermainkan imaginasinya bagi menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia, magis dan seumpamanya.

Seni pengolahan atau pembinaan karya, bagaimana karya itu distrukturkan. Aspek pembinaannya merangkumi tema, plot, watak, gaya bahasa, sudut pandangan dan latar. Kekuatan olahan bererti kekuatan teknik dan pencernaan pelbagai aspek dan komponen yang membina sesebuah karya. Begitu juga hubungan antara aspek yang membina itu harus sesuai, serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tegasnya, antara tema, watak, plot, gaya bahasa, sudut pandangan dan latar itu mempunyai hubungan, jalinan, kesatuan dan kekuatannya.

Daripada pengolahan itulah terbinanya sifat kepengarangan dan keunggulan pengarang. Teks-teks yang unggul dapat menunjukkan kekuatan dan keindahannya. Teks-teks yang unggul dapat menonjolkan bagaimana cara pengarang memilih dan mengangkat aspek tema dan persoalannya, kemudian menghadirkannya dengan teknik yang menawan. Teks yang dihasilkan itu tidak sama dengan apa yang pernah dihasilkan. Pengarangnya berusaha untuk mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau melanggar apa yang telah sedia ada. Kemudian, pengarang itu akan beristiqamah denga penciptaannya, sehinggalahd ia memiliki kepengarangannya sendiri. Dengan cara demikian, sesungguhnya dia dapat mencipta karya yang bermutu dan berestetika (Mana Sikana, 2004).

Menurut Prof. Dr. Vladimir I.BrasinkyProf. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Universiti London (Artikel Penuh : Dalam Utusan Malaysia, Oktober 2000) menyatakan bahawa asas keislaman yang terdapat dalam karya-karya agung membuatkan karya tersebut mempunyai nilai-nilai estetik. Pendapat beliau disokong oleh pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar bahawa keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan penulisan para intelektual dan sasterawan

Rujukan :

1. Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.

2. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz2z743UnWN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment