Estetik atau keindahan adalah suatu sifat dan ciri sastera
yang terpenting. Malah, perkataan sastera itu sendiri yang berasal daripada
perkataan Sanskrit, merujuk kepada karya yang indah. Manusia suka kepada
sastera kerana sifatnya yang indah, estetik dan artistik itu. Setiap seni
mempunyai sifat keindahannya yang tersendiri.
Dalam seni
sastera, keindahan berkait rapat dengan struktur karya, olahan yang memberi
kesan kepada pengalaman, perasaan, pemikiran, imaginasi dan wawasan. Estetik juga
merujuk kepada aspek kekuatan karya. Dapatlah dinyatakan bahawa estetik ialah
rasa keindahan, keseronokan, kegembiraan yang merujuk kepada yang bernilai dan bermanfaat serta
penikmatan yang mempersonakan atau penglihatan yang memukau, yang cepat menawan
perasaan dan terpahat dalam pemikiran. Keindahan ialah daya tarikan dan kepuasan
dalam penikmatan karya sastera terhadap aspek susunan unsur struktur yang harmonis
yang memiliki perasaan, pemikiran dan sebagainya. Setiap komposisi karya
memiliki keindahannya tersendiri. Dan khalayak akan membina pula sikap
estetiknya bagi menerima teks-teks tersebut. Keindahan yang lebih agung lagi
ialah yang membawa manusia mencapai kebaikan, mengagung Allah Azza Wajalla.
Keindahan
pengalaman bergantung kepada keunikan pengalaman; pengalaman itu luar biasa,
belum pernah dialaminya, menarik, dan memberinya kepuasan. Membaca adalah
proses penambahan pengalaman. Pengalaman keindahan ialah apabila kita merasa
kesan yang menarik, mengagumkan, menyedihkan atau yang memeranjatkan. Seandainya
pengalaman yang diberikan pengarang itu istimewa, maka pembaca akan merasai
kenikmatan dan keseronokannya. Sebuah karya yang baik ialah elok ciptaannya,
tinggi seninya dan halus adunannya. Apabila kita membaca, perasaan kita akan turut
digoncangnya.
Hasil daripada
pembacaan itu, kita mendapat pemikiran yang tinggi atau ada falsafah tentang
hidup. Kita dipintarkan olehnya, bukan digurui atau dimarahinya. Sebuah karya sastera
yang berestetika juga mengajar kita menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Rasa
keindahan juga berkait rapat dengan kemampuan sesebuah teks itu bagi
menimbulkan perasaan kita, seperti perasaan gembira, simpati, marah, terharu
dan sebagainya. Dan karya itu pula dapat menimbulkan rasa geram, dengki,
cemburu dan sebagainya. Pengarangnya dengan bijaksananya berketrampilan dan
mempermainkan imaginasinya bagi menghidupkan dunia realiti, fantasi, utopia,
magis dan seumpamanya.
Seni pengolahan
atau pembinaan karya, bagaimana karya itu distrukturkan. Aspek pembinaannya
merangkumi tema, plot, watak, gaya bahasa, sudut pandangan dan latar. Kekuatan olahan
bererti kekuatan teknik dan pencernaan pelbagai aspek dan komponen yang membina
sesebuah karya. Begitu juga hubungan antara aspek yang membina itu harus
sesuai, serasi dan saling melengkapi antara satu sama lain. Tegasnya, antara
tema, watak, plot, gaya bahasa, sudut pandangan dan latar itu mempunyai
hubungan, jalinan, kesatuan dan kekuatannya.
Daripada
pengolahan itulah terbinanya sifat kepengarangan dan keunggulan pengarang. Teks-teks
yang unggul dapat menunjukkan kekuatan dan keindahannya. Teks-teks yang unggul
dapat menonjolkan bagaimana cara pengarang memilih dan mengangkat aspek tema
dan persoalannya, kemudian menghadirkannya dengan teknik yang menawan. Teks yang
dihasilkan itu tidak sama dengan apa yang pernah dihasilkan. Pengarangnya berusaha
untuk mencipta teks yang mempunyai pembaharuan atau melanggar apa yang telah
sedia ada. Kemudian, pengarang itu akan beristiqamah denga penciptaannya,
sehinggalahd ia memiliki kepengarangannya sendiri. Dengan cara demikian,
sesungguhnya dia dapat mencipta karya yang bermutu dan berestetika (Mana
Sikana, 2004).
Menurut Prof. Dr. Vladimir I.BrasinkyProf. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Universiti London (Artikel Penuh : Dalam Utusan Malaysia, Oktober 2000) menyatakan bahawa asas keislaman yang terdapat dalam karya-karya agung membuatkan karya tersebut mempunyai nilai-nilai estetik. Pendapat beliau disokong oleh pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar bahawa keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan penulisan para intelektual dan sasterawan
Menurut Prof. Dr. Vladimir I.BrasinkyProf. Dr. Vladimir I. Braginsky dari Pusat Bahasa dan Budaya Asia Tenggara, Universiti London (Artikel Penuh : Dalam Utusan Malaysia, Oktober 2000) menyatakan bahawa asas keislaman yang terdapat dalam karya-karya agung membuatkan karya tersebut mempunyai nilai-nilai estetik. Pendapat beliau disokong oleh pensyarah Institut Pujangga UUM, Dr. Syed Othman Syed Omar bahawa keindahan alam semesta, kejadian manusia dan lain-lain adalah sumber kepada pertumbuhan pelbagai ilmu pengetahuan dalam diri manusia. Dan sumber inilah yang menjadi bahan penulisan para intelektual dan sasterawan
Rujukan :
1. Dr. Seri Lanang Jaya bin Hj Rohani et al (2013). Modul KRB3063: Penghayatan Karya Agung Melayu. Tanjong Malim: Penerbit Universiti Pendidikan Sultan Idris.
2. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1022&pub=Utusan_Malaysia&sec=Gaya_Hidup&pg=ls_05.htm#ixzz2z743UnWN
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment