Definisi Retorik
Perkataan retorik
dikenali sebagai Rethor dalam
bahasa Greek yang bermaksud “pemidato” manakala dalam bahasa Yunani, ia menjadi
rhetorike yang bermaksud seni berpidato. Retorik ini dieja rhetorique dalam
bahasa Perancis dan Rhetoric dalam bahasa Inggeris. Retorik dalam bahasa Melayu
Klasik boleh dilihat dalam peribahasa, pantun, syair, gurindam dan banyak lagi genre
sastera melayu yang lain.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2010:1326),
retorik didefinisikan sebagai teknik pemakaian bahasa secara berkesan dalam
penulisan atau pertuturan. Menurut Abu Hassan, retorik merupakan satu seni gaya
penulisan secara berkesan yang bertujuan untuk mempengaruhi khalayak iaitu
individu yang berada di persekitarannya. Plato pula dalam
bukunya, Pheadrus menyatakan retorik merupakan wacana yang rasional
dan diletakkan sebagai seni yang digunakan secara meluas dalam aktiviti pidato
yang merupakan satu-satunya saluran penyampaian idea, fikiran dan maklumat. Aristotle menyifatkan retorik sebagai seni pemujukan
dan merupakan disiplin yang lengkap tentang teknik, kaedah dan amalan
menghasilkan pengucapan yang benar dan berkesan.
Orang Melayu lebih cenderung untuk menggunakan
pelbagai retorik dalam penulisan sebagai daya penarik berbanding isi yang ingin
disampaikan. Mohd Affandi Hassan menyatakan penggunaan retorik seperti
cerita-cerita tambahan, penggunaan suara dan sebagainya sebagai elemen retorik
sebagai usaha untuk menarik minat penonton contohnya penglipur lara, Tok
Selampit dan Awang Batil. Orang Melayu lebih mementingkan retorik daripada genre untuk menyampaikan maksud. Keutamaan diberikan kepada susunan idea dan penggunaan bahasa yang baik. Hal
ini kerana sekiranya ungkapan yang dilontarkan tidak mempunyai sebarang idea
maka timbullah ungkapan retorik kosong. Retorik dapat diketahui melalui dua
aspek penting iaitu pengetahuan tentang bahasa dan penggunaannya yang baik.
Jenis-Jenis Retorik
Retorik terdiri daripada enam jenis, iaitu;
- Pemerian - penggunaan bahasa yang berbentuk penjelasan atau huraian tentang sesuatu idea. Ianya bertujuan menyampaikan fakta dan maklumat yang lengkap kepada pembaca atau pendengar
- Penceritaan - merupakan satu bentuk penyampaian melalui cerita, sama ada dalam penulisan mahupun lisan.
- Penerangan - penerangan tentang sesuatu perkara dengan terperinci daripada satu langkah kepada satu langkah yang lain.
- Pendedahan - mendedah sesuatu/menyingkap /memapar /menunjukkan sesuatu perkara atau maklumat dengan jelas dan terperinci. Selain itu, retorik jenis ini untuk memindahkan idea atau maklumat daripada seseorang kepada khalayak dengan berkesan
- Penghujahan - retorik ini juga dikenali sebagai pemujukan rasional atau intelek. Retorik jenis ini digunakan dalam sesuatu perbahasan, perdebatan, pembicaraan, forum dan penulisan yang bersifat akademik.
- Pemujukan - gunakan bahasa pujukan untuk mempengaruhi pemikiran dan keyakinan orang lain supaya mempercayai sesuatu perkara yang diperkatakan.
Penggunaan Retorik
dalam Hikayat Abdullah & Hikayat Tuhfat Al-Nafis
1. Retorik Penceritaan
- Tuan Raffles datang ke Melaka. Setelah berbincang dan bersetuju, dimintanya Kolonel Farquhar belayar ke Singapura untuk melaksanakan kerja tersebut. Ketika itu Tuan Raffles telah diarahkan pergi ke Aceh oleh Tuan Jenderal untuk mendamaikan pertelingkahan di antara Aceh Pidir dengan Teluk Semawi yang hendak berperang. (Hikayat Abdullah;ms 155)
2. Retorik Pemerian
- Tuan Furquhar sudah lama bersahabat dengan Tengku Long, putera Sultan Mahmud. Semasa dia di Melaka, khabar yang kudengar mengatakan Tengku Long sudah mengambil wang daripada Kolonel Farquhar. (Hikayat Abdullah; ms 154)
- Kawasan itu semak belaka. Hanya di padang itulah tiada berhutan besar, tetapi dipenuhi pokok-pokok ambung-ambung, malapari, bulangan dan tulang-tulang kayu. Di seberang sungai kelihatan pokok-pokok bakau, api-api, buta-buta, jeruju dan tulang-tulangnya sahaja. Ada sebuah bukit yang tinggi di hujung tanjung Kuala Singapura. (Hikayat Abdullah; ms161)
- Maka lalu dikeluarinya oleh orang Siak (itu), serta orang Siantan, mana-mana (yang) sebelah dia. Maka lalulah (beramuk-amukan mula-mulanya), berbedil-bedilan dengan meriam (dan) lela. Kemudian berapat berbedi(-bedil)an dengan senapang (dan) pemuras. Kemudian berapat (bercencangkan kelewang dan pedang dan) bertikamkan (lembing, tombak. Kemudian berapat bertikamkan) keris (pendek, ada yang bertikam bercengkeng pinggang sama seorang). Maka sangat ramainya (perang itu), kerana sama(sama) tiada mau undur (anak-anak Selangor dengan anak Siak)”.(Tuhfat al Nafis;ms279)
3. Retorik Pendedahan
- “Syahadan apabila mangkatlah ia menggantikan kerajaannya puteranya yang bernama Raja Mahmud bergelar Sultan Mahmud Syah. Maka masa kerajaan baginda inilah, ia membunuh saudaranya itu, iaitu yang berama Raja Zainal, kerana Raja Zainal itu baik parasnya cantik manis, memberi ghairat segala hati perempuan melihatnya. Dan banyaklah anak-anak orang Melaka berahi akan dia hingga anak isteri orang tiadalah berketentuan mengidah Raja Zainal itu dengan bunga bergubah dan sirih bersulur. (Tuhfat al Nafis ; ms 134)
- Akan tetapi, semenjak aku telah mendapat pelajaran dan akal sedikit-sedikit serta membaca kitab-kitab, tambahan pula telah bercampur-campur dengan orang berakal, orang putih, maka bahawasanya kuketahuilah sekalian itu bohong, lagipun penipu besar, adanya. (Hikayat Abdullah; ms 114)
4. Retorik Penerangan
- Maka kulihat sifat orangnya pendek dan mukanya bundar dan rambutnya putih dan tubuhnya sederhana. (Hikayat Abdullah; ms 79)
5. Retorik Pemujukan
- Maka berkatalah Pengeran Dipati itu kepada Gusti Jameril, “Adapun cucuku ini aku hendak (ambil) buat menantu. Cucuku pilihlah anaku yang dua orang itu mana-mana suka cucuku.” Maka jawab Gusti Jameril, “adapun (yang) seperti kehendak nenda belumlah patik boleh menentukan bermohonlah patik mengadap paduka anak anda Pangeran Emas Seri Nagara dahulu.” (Tuhfat al Nafis; ms232)
Definisi Gaya Bahasa
Pada umumnya, bahasa merupakan satu alat perhubungan dan komunikasi antara manusia. Bahasa lazimnya diertikan sebagai satu sistem lambang pertuturan yang arbitrari yang digunakan oleh manusia sebagai alat untuk berhubung, manakala gaya bahasa pula bermaksud cara atau bentuk bahasa yang digunakan dalam pertuturan atau penulisan untuk menimbulkan kesan-kesan tertentu. Bahasa antaranya berfungsi untuk :
- meluahkan perasaan
- menyampaikan ilmu dan mengakumulasikannya
- mengungkapkan keindahan dalam pelbagai wahana (cara/bahan/strategi)
- mewariskan ilmu, budaya, peradaban dan agama
Dalam menyampaikan
bahasa untuk melahirkan buah fikiran, lazimnya kita akan menggunakan gaya
pengucapan atau gaya tulisan yang berbeza, yakni disebut gaya bahasa. Konsep
gaya dari segi retorik lama mentakrifkan suatu cara berfikir yang tidak boleh
diabaikan begitu sahaja. Ringkasnya, bahasa ialah pengzahiran buah fikiran,
manakala gaya ialah potongan atau stilistik atau fesyen tertentu kepada bahasa
tersebut. Bahasa melayu amat kaya dengan gaya. Maksud gaya bahasa yang
diberikan oleh Za’ba (1962:71) ialah rupa susuk bahasa yang dipakai apabila
bercakap atau mengarang, iaitu tentang perkataanya, ikatan ayatnya, jalan
bahasanya, cara susunan atau bentuk pembahasaan. Za’ba membahagikan gaya bahasa
melayu kepada dua, iaitu gaya cakap mulut dan gaya surat. Kedua-dua gaya ini
boleh disebut sebagai gaya melayu betul dan gaya bukan melayu.
Contoh Gaya Bahasa dalam Hikayat Abdullah
1. Skema Pengguguran
Asidenton: pengguguran
kata hubung.
- makan tak kenyang, tidur tak lena (ms 13)
2. Skema Perulangan
Anafora: pengulangan perkataan
yang sama pada permulaan klausa.
- Dia ketakutan melihat ramai orang berhampiran perahunya, lalu terjun ke laut ketika ombak besar. Dia hilang dibawa arus ke laut. (ms 160-161)
3. Skema Ragaman
*Khusus –Umum
- Maka dalam hal itu bapaku pun mendapat sakit payah di Sungai Baru, lalu pergilah segala adik kakak dari Melaka mengambil akan dia… (ms8)
*Umum-Khusus
- …Tuan Sekretaries Gobermen ke Melaka menyuruhkan bapaku pergi ke Riau dan Lingga, Pahang, Terengganu…. (ms 9)
4. Majaz
Maksud :
memindahkan perkataan
hakiki kepada bukan hakiki dan dapat difahami dengan adanya hubungan dan
petunjuk. *Majaz Pertautan bermaksud hubungan pertautan makna sama ada yang bersifat simbolik, perumpamaan/tamsilan.
- Disfemisme - kata-kata kasar untuk tujuan tertentu.
*Majaz Perbandingan bermaksud penggunaan unsur-unsur bahasa yang bersifat membandingkan 2 hal pada hal
berlainan ataupun sengaja dianggap sama.
- Simile – perbandingan secara langsung.
- Hiperbola
- Personafikasi
Contoh:
Tuan Farquhar pergi berteduh di bawah sepohon kayu kelat di tengah padang itu.(ms
156)
Bahasa Melayu Klasik
Menurut Kamus Dewan (1986), perkataan klasik
sebagai kesenian atau kesusasteraan yang lama atau yang mempunyai sifat-sifat
yang tidak lagi terpakai. Asmah Hj.Omar (1993), “ bahasa abad ketiga belas dan
ketujuh belas itu dinamakan bahasa Melayu Klasik”. Bahasa Melayu klasik pula
menurut Ismail Hussein (1966), “ pembahagian bahasa Melayu Klasik dibuat adalah
atas pertimbangan sejarah perkembangan bahasa Melayu”. Menurut Ismail Hussein
(1966), bahasa Melayu Klasik bermula sekitar abad ke-13 dan ke-14 dan beliau
menyebutnya sebagai zaman peralihan di seluruh kepulauan Melayu setelah
kedatangan agama Islam. Kenyataan ini disokong dengan bukti catatan
Marco Polo tentang pengislaman Pasai pada tahun 1292M sewaktu beliau melawat
Sumatera Utara. Permulaan bahasa Melayu klasik boleh ditandai dengan kemunculan
dan keagungan kerajaan Melayu Melaka dan bahasa Melayu klasik menjadi medium
dalam pemerintahan, perhubungan, perdagangan, dan penyebaran agama Islam.
No comments:
Post a Comment